Wednesday, August 3, 2011

Yadim cawangan Perak sedia berdakwah


DARI kiri; Datuk Haziz Abd. Ghani (Pengerusi Yadim Melaka), Mad Isa Ismail, Saarani Mohamad, Aziz Jamaluddin, Shamsul Anuar Nasarah dan Dr. Ghani Mohamad semasa perasmian Yadim cawangan Perak di Kampung Air Bah, Kenering, Lenggong, Perak.


MENYEDARI keberkesanan dakwah dengan mendekati masyarakat secara terus menjadikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan tanpa ragu membuka satu lagi cawangannya di Perak. Ia merupakan cawangan kesembilan yayasan itu dalam usaha berdakwah di segenap lapisan masyarakat dan kawasan.

Yang Dipertua Yadim, Datuk Aziz Jamaluddin Mhd Tahir berkata, Perak dipilih sebagai lokasi cawangan terbaru itu kerana ia salah sebuah negeri yang banyak melahirkan tokoh-tokoh ulama besar seperti Dr. Sheikh Mohamad Abdul Rauf Al-Marbawi yang menghasilkan Kamus Marbawi yang digunapakai sehingga sekarang oleh para pelajar.

"Selain itu, Perak juga melahirkan beberapa ulama lain seperti Tok Guru Muhammad Saman Kati, seorang ulama tasauf yang terkenal; Ustaz Abdul Samad Noh, Sheikh Abu Bakar Al Bakir Gunung Semanggol, Dr. Burhanudin Helmi, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman, pengasas Madrasah Ad-Diniah dan ramai lagi.

"Tanggungjawab ini harus diteruskan untuk melahirkan lebih banyak ulama dan ahli agama yang akan menjaga umat Islam daripada rencah-rencah musuh Islam sendiri," ujarnya.

Lantaran itu, kewujudan Yadim cawangan Perak dirasakan begitu penting walaupun menyedari peranan pendakwah di kawasan Hulu Perak agak mencabar dengan kedudukan geografinya yang jauh ke pedalaman dan melibatkan masyarakat Orang Asli.

Lantas, amanah itu terpikul kepada Pengerusi Yadim Cawangan Perak, Datuk Mat Isa Ismail untuk menjalankan tugas seperti yang telah dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin cawangan Yadim yang lain.

Berpengalaman bekerjasama badan agama yang lain juga menjadikan Yadim semakin yakin dengan gerak kerja dan kaedah yang dilaksanakan selama ini oleh pendakwah-pendakwahnya.

Mereka ditugaskan bukan sahaja untuk mendekati masyarakat melalui majlis-majlis tertentu tetapi juga mengimarahkan surau-surau walaupun pada skala yang kecil.

"Yadim tidak teruja untuk mengunakan pendekatan popular seperti menggunakan media massa secara besar-besaran.

"Yadim menggunakan pendekatan sederhana iaitu mengembalikan nilai-nilai Islam dengan semangat damai dan penuh kasih sayang dan seterusnya membentuk kualiti yang besar dalam individu yang didakwahkan," tambah Aziz Jamaludin.

Menurut beliau, masyarakat Orang Asli menjadi kumpulan fokus dalam menyampaikan dakwah.

Di samping itu, Yadim juga akan turun padang menghulurkan bantuan, malah memerhati dan mendengar masalah yang dihadapi kumpulan minoriti yang sering dilihat tersisih daripada arus pembangunan negara.

Kaedah yang sama juga dilakukan ke atas kumpulan sasaran lain seperti generasi muda yang bakal melestarikan keutuhan agama Islam sehingga ke akhirnya dengan mewujudkan kelab Sahabat Yadim.

Pendekatan yang diguna kelab itu akan mengikat setiap ahli dengan sifat-sifat sedia berkongsi dan menjana idea untuk gagasan-gagasan yang dianjurkan oleh kerajaan.

Dalam mendekatkan diri dengan perspektif yang digariskan, Yadim juga turut membina jambatan hubungan baru dengan pelbagai institusi dakwah sama ada di dalam atau di luar negara terutama dengan institusi yang banyak menghasilkan cendekiawan Islam agar tradisi mengimarahkan ilmu dan mengamalkan apa yang dipelajari tidak mati begitu sahaja.

Majlis itu dirasmikan Exco Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad.

Dalam ucapannya, Saarani berkata, kewujudan cawangan itu, akan membolehkan Yadim menumpukan aktiviti dakwah di Perak dengan lebih berkesan bersama-sama dengan badan-badan agama seperti Majlis Agama islam Perak (MAIP), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan lain-lain.

Sempena dengan perasmian cawangan baru itu, selama dua hari Yadim berkampung di Lenggong, Perak bagi mendekati masyarakat Orang Asli dengan pelbagai aktiviti.

Antaranya pemeriksaan kesihatan, derma darah, sukaneka, demo solat, demo sembelihan dan demo pengurusan jenazah serta menziarahi rumah-rumah penduduk dengan menyampaikan sedikit sumbangan.

Majlis perasmian Yadim cawangan Perak yang diadakan di Kampung Air Bah, Kenering, Lenggong itu memperlihatkan penerimaan masyarakat setempat dan juga Orang Asli di situ.

Ia memberi keyakinan yang lebih mendalam kepada Yadim untuk terus melaksanakan apa yang telah dirancang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: