Thursday, August 18, 2011

Warna indah Aidilfitri di kota London

pix_middle

NALURI keibuan jauh tersembunyi di sanubari hatinya. Sekalipun hanya sekadar menumpang kasih dengan anak-anak tiri, mereka sudah pun dianggap seperti anak kandung sendiri.

Justeru, Ning Baizura Sheikh Hamzah akur untuk terbang lagi ke United Kingdom (UK) buat sekian kalinya untuk melawat Siban dan Aife, iaitu anak-anak kepada suaminya, Omar Sharif Christopher Layton Dalton bersama bekas isteri.

  • Foto

    BAHAGIA...Ning dan Omar bagai pasangan bercinta.

  • Foto

    LEPAS RINDU...mereka menghabiskan cuti musim panas bersama anak kesayangan.

  • Foto

Lebih daripada itu, Ning juga akan menyambut Aidilfitri akan datang di perantauan, tetapi tidak langsung terkilan dengan situasi yang berlaku. Mungkin itulah antara pengorbanan yang perlu dilakukannya ketika Ramadan dan menjelang Syawal kali ini.

Bukan juga kerana mahu mengelak ibadat berpuasa, Ning dan Omar hanya mahu melepaskan rasa rindu kepada kedua-dua kanak-kanak itu yang masing-masing baru berusia 7 dan 8 tahun.


“Jun hingga Ogos adalah musim panas di UK kerana September nanti mereka akan kembali semula ke sekolah. Lantas ini saja masa dan peluang yang kami ada. Saya hanya melihat semua itu sebagai satu pengorbanan dalam perkahwinan saya dan tidak pula timbul rasa kesal meskipun terpaksa meninggalkan kampung halaman sendiri ketika hari raya nanti.“Apabila melihat anak-anak suami saya, rasa sedih berjauhan dari kampung halaman akan hilang. Syukur juga ibu saya (Satilah Abdullah) akan turut menyusul ke UK pada Aidilfitri nanti selepas kami terbang dulu,” kata Ning kepada Rap ketika berkunjung ke Studio NSTP, baru-baru ini.

Buang dulu persoalan mengenai zuriat sendiri selepas melangkaui gerbang perkahwinan tiga tahun lalu kerana semua itu tidak akan memberi kesan negatif kepada Ning. Namun, apa yang penting bagi Ning dan Omar, mereka perlu memelihara keharmonian rumah tangganya dengan sebaik-baiknya.

Meskipun belum mendengar tangisan bayi, baik Ning mahupun Omar, tidak pernah lesu menyemai kasih sayang agar cinta mereka terus mekar.

Tambah Ning yang sedang popular dengan lagu Seribu Sesalan bersama Jac dan Shila Amzah, anak-anak Omar sudah dianggap seperti anaknya juga dan hubungan mereka semakin akrab. Mereka menetap
bersama bekas isteri Omar di Ireland.

“Entahlah saya sendiri selalu rindukan mereka walaupun mereka bukan anak kandung saya. Saya faham akan situasi Omar yang tidak mahu kehila�ngan anak-anaknya dan bimbang kalau terlalu lama tidak bertemu lama-kelamaan ia boleh merenggangkan hubungan ayah dan anak. Lantas saya sendiri yang menetapkan agar Omar mesti melawat mereka setiap tahun berbanding persetujuan awal dulu, tiga tahun sekali. Rasanya itu lebih adil dan perlu kerana mereka masih kecil.

“Saya tidak langsung merasa gusar walaupun belum dikurniakan anak sendiri. Mungkin kerana hubungan kami berdua yang rapat membuatkan saya terlupa akan kekurangan di situ. Lagipun masing-�masing masih sibuk me�nguruskan kerja yang masih banyak perlu diselesaikan. Insya-Allah, kalau ada rezeki dan tertulis ketentuan itu, ia tidak akan ke mana,” katanya.

Merentas ibadat berpuasa di negara orang pastinya memberikan pengalaman baru. Bukan sekadar pemandangan dan cuacanya berbeza, pasti suasana dan kemeriahannya juga tidak akan sama seperti di sini. Namun jelas Ning, tiada apa yang berubahnya kerana semuanya bergantung kepada nawaitu dan kejujuran seseorang manusia kepada Tuhannya.

“Memang suasananya sangat berbeza, tapi tujuan menjalani ibadat puasa itu tetap sama. Suhu di sana mungkin jauh lebih sejuk dan tidak memenatkan tapi kita mungkin akan terasa cepat lapar. Selain itu saya juga akan rindukan bazar Ramadan kita yang menjual pelbagai juadah sedap. Namun di England, restoran halal memang banyak dan orang Malaysia pun ramai.

“Tapi setiba di London saya bersama suami berhajat ingin berjumpa dengan kedutaan Malaysia serta berbincang mengenai perancangan mengadakan acara kebajikan bersama pelajar kita di sana. Biarlah secara kecil-kecilan seperti majlis berbuka puasa bersama mereka ataupun menyambut Aidilfitri secara sederhana, tapi kesannya tetap bermakna. Insya-Allah semua saya doakan akan berjalan lancar nanti,” katanya.

Baru-baru ini juga, Ning turut menaikkan status laman twitter miliknya yang meminta bantuan rakan media mendapatkan nombor pelajar Malaysia yang menjadi mangsa pukul dan samun di London, Asyraf Hazlan. Kata Ning, dia juga teringin menghulurkan bantuan.

Katanya, percutian kali ini juga menyeronokkan kerana dia juga sudah ke Amerika Syarikat, Julai lalu.

“Seronoknya kali ini, saya dan suami mengambil cuti lebih awal untuk bercuti sebelum pergi melawat anak-anak. Kami ke Amerika Syarikat dulu untuk menghabiskan masa berdua dan saya sempat menyaksikan persembahan Celine Dion di Caesar’s Palace, Las Vegas dan kemudian ke Los Angeles.

“Bukan sekadar untuk berseronok, sebaliknya kami cuba menimba pengalaman, sebelum saya menjayakan konsert solo pada 2 & 3 Disember depan di KL Live Centre nanti,” katanya yang kali terakhir beraksi dalam filem komedi Cun! bersama Maya Karin, Faezah Elai dan Remy Ishak.

Mengenai lagu Beribu Sesalan yang sedang popular di corong radio, Ning berkata ia satu kejayaan buat dirinya bersama Jac dan Shila kerana paduan vokal mereka mendapat perhatian peminat. Lagu itu juga sudah menyertai Carta Muzik-Muzik di TV3 dan terus menjadi siulan ramai.


PROFIL

NAMA PENUH: Ning Baizura Sheikh Hamzah
TARIKH LAHIR: 28 Jun 1975
USIA: 36 tahun
TEMPAT LAHIR: Kajang, Selangor
SUAMI: Omar Sharif Christopher Layton Dalton
ALBUM: Dekat Padamu, Ning, Teguh, Ke Sayup Bintang, Always, Pujaan Ku, Natural Woman, Selagi Ada..., Erti Petermuan, EastToWest dan Dewa
FILEM: Gemilang, Maria Mariana 2, Bara, Mimpi Moon, Malaikat Di Jendela, Azura 2003, Lady Boss, Diva, Muallaf, Magika, Cun!
TEATER: The Storyteller dan SHOUT! The Mod Musical
PENCAPAIAN: Voice of Asia pada 2001, Artis Baru Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 1993, Album Terbaik (Dekat Padamu) di AIM 1993, Lagu Terbaik Kategori Balada (Curiga) di Anugerah Juara Lagu (AJL) 1993, Album Pop Terbaik di AIM 1994, Lagu Pop Rock Terbaik di AJL 1994 (Kau & Aku), Vokal Wanita Pilihan di Anugerah ERA 2003, Lagu Terbaik (Selagi Ada Cinta) di AIM 2004, Lagu Terbaik dan Muzik Video Terbaik menerusi lagu Awan Yang Terpilu di AIM 2005, Album Pop Terbaik dan Kulit Album Terbaik menerusi album Erti Pertemuan di AIM 2005 serta Lagu Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2011 menerusi lagu 3 Suara bersama Jaclyn Victor dan Shila Amzah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: