Monday, August 22, 2011

Terkenang si dia

pix_gal0
Nostalgia berhari raya bersama kakak

TIDAK lengkap sambutan 1 Syawal dalam sesebuah keluarga kalau seorang daripada anggotanya tiada di sisi. Ketiadaan insan yang disayangi tentu saja mencambahkan rasa sayu walau di sekeliling ramai sanak saudara datang berkunjung.

Perasaan itu yang dilalui Ana Raffali, 26, selepas seorang kakaknya mengikut suami bertugas di India sejak empat tahun lalu, manakala adik lelakinya pula berada di Moscow menyambung pengajian di bidang perubatan.
Namun kegembiraan mereka sekeluarga berganda tahun ini apabila si adik yang sudah enam tahun di negara orang kembali, ke tanah air sekali gus menyambut hari raya bersama-sama.
“Walaupun adik beradik ramai, situasi tidak serupa jika seorang tiada. Dari kecil kami tidak berpisah. Seperti kakak saya, walaupun berjauhan boleh dikatakan tiap tahun dia balik meraikan Aidilfitri, cuma kali ini saja mereka sekeluarga hanya balik kampung selepas musim raya.

“Kepulangan adik yang sudah tamat pengajian tentu saja memberikan suasana berbeza. Sebelum ini kami turut mengirim kuih muih, baju Melayu dan tidak ketinggalan rakaman video sambutan 1 Syawal sebagai pelepas rindu,” kata anak ke sembilan daripada 11 bersaudara itu.

Cerita penyanyi lagu lagu Tolong Ingatkan Aku itu terus berlegar kepada arwah kakak sulung yang juga anak kedua dalam keluarga, Wilma Halina, apabila kembali ke rahmatullah lapan tahun lalu.

Akuinya, arwah kakaknya itu memang handal membuat kek dan biskut malah menerusi tunjuk ajarnya Ana belajar mengadun biskut istimewa untuk hari raya seawal usia 17 tahun.
“Nostalgia ketika arwah masih ada segar dalam ingatan kerana dialah orang paling sibuk membuat persiapan. Dari awal lagi dia sudah menyediakan bahan dan kami adik beradik akan membantu mana yang patut.

“Lucunya belum sempat raya kuih berbalang habis dimakan adik-adik, maklumlah kami keluarga besar. Apabila malam raya kami sepakat mencucuk dan membakar sate beramai-ramai, itu paling seronok. Sudah macam kenduri,” katanya sambil tersenyum.

Paling diingati ketika program pertukaran pelajar di Jepun tatkala masih menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila buat pertama kali perlu menyediakan juadah raya termasuk ayam masak merah dan kuah kacang.

Kebetulan ketika itu hanya Ana dan seorang lagi teman berbangga Melayu terpaksa menyambut hari raya di perantauan namun mereka sepakat memasak bersama-sama bagi mengubati rindu kepada keluarga dan suasana di desa.

“Waktu itu saya berbual lama dengan emak semata-mata mahu mendapatkan resepi. Walaupun rasanya tidak sama seperti air tangan emak, terubat juga rasa teringin kami malah rakan dari Australia turut memuji masakan kami yang tak seberapa itu,” kata Ana sambil ketawa.

Menurutnya, dalam meniti kedewasaan memori zaman kecil dan remajanya tetap terpahat kukuh di ingatan dan sebagai kakak kegembiraan kini lebih diutamakan kepada adik serta tujuh anak saudaranya.

Duit raya antara kemestian kepada insan kesayangan apatah lagi kini dirinya sudah mula bekerja dan mempunyai wang sendiri yang mahu dikongsi dengan seisi keluarga.

“Untuk persiapan keluarga terutama adik-adik saya serahkan kepada emak dengan memberinya wang belanja. Disebabkan rumah kami bertimbun bahan bacaan, saya bercadang menambah lagi rak buku.

“Boleh dikatakan kediaman kami sudah seperti perpustakaan mini kerana di ruang tamu penuh buku malah tetamu turut membelek-belek buku yang ada,” kata graduan Pendidikan Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Nyata si manis yang murah senyuman itu meletakkan keluarga di tangga teratas kehidupannya hingga soal jodoh diletak dulu ke tepi sekali pun hubungannya dengan seorang jejaka sudah di peringkat serius.

Diajukan lagi perihal jodoh, Ana hanya tersenyum selain menyatakan tanggungjawab terhadap keluarga masih belum selesai dan tidak adil baginya mementingkan diri sendiri berbanding kebajikan insan tersayang.

Sudah menjadi rutin, saban tahun seboleh-bolehnya mereka sekeluarga akan berkonvoi mengunjungi sanak saudara di kedua-dua belah pihak ibu dan bapanya iaitu di Mentakab, Pahang dan Jelebu, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: