KATA tanda dagang Datuk David Arumugam, vokalis utama Alleycats sudah melekat dengan dirinya sejak lama dahulu. Membongkar cerita bagaimana istilah ‘Terima Kasih’ itu boleh terpacul daripada mulutnya, David mengaku, waktu itu dia tidak fasih berbahasa Melayu. Malah dalam fikirannya sedang memikirkan apa yang perlu dilakukan ketika di atas pentas.
“Jujurnya tidak pernah sangka ia akan jadi sebegini dan masih kekal walaupun selepas 43 tahun. Album Alleycats meletup pada 1979. Kita buat album pertama pada tahun 1976 tetapi album Inggeris yang dibuat pada tahun 1978 tidak laku. Ungkapan ‘terima kasih’ terkeluar sewaktu Alleycats mengadakan persembahan di Stadium Negara. Waktu itu saya tidak tahu mahu berkata apa dan hanya terkeluar ungkapan tersebut dengan lenggok yang sama. Sampai sekarang ia melekat,” ujar David yang bangga dengan letupan album keempat mereka, Hingga Akhir Nanti.
Jujur David lagi, Alleycats dulu tidak fasih berbahasa Melayu. Maklumlah lama mereka berkelana di Hong Kong mencari rezeki dan yang yang terkeluar daripada mulut mereka adalah dialek Kantonis.
“Sembilan tahun kami di Hong Kong. Datuk M. Nasir, Amin Sahab dan A. Ali yang mengajar kami berbahasa Melayu dengan betul. Mereka ajar bagaimana menyebut dan maksudnya sekali,” cerita David tentang pengalaman mereka merakamkan album di Hong Kong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: