MENYEDARI hakikat bahawa umat Islam sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran, di samping tuntutan berdakwah secara berkesan, Karyawan Bestari Sdn. Bhd. mengambil inisiatif menganjurkan program Bicara Agung Panggung Dakwah yang akan diadakan dalam bentuk forum bersemuka pada 6 Ogos ini di Multaqam Hall, Maju Junction.
Menurut Pengasas Panggung Dakwah, Abdullah Abdul Hamid, program itu dibahagikan kepada dua segmen iaitu berbentuk forum dan perkongsian pengalaman.
Katanya, dalam segmen pertama, ahli forum akan membentangkan topik perbincangan yang akan diselang-seli dengan dialog bersama penonton.
Segmen kedua pula adalah perkongsian pengalaman hidup tokoh dan personaliti terpilih yang pernah melalui kegagalan hidup beragama.
"Kami berharap program ini dapat menjadi satu usaha dakwah yang berkesan dan dapat memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia.
"Idea ini datang daripada para ulama sendiri yang mahukan usaha dakwah Islam diperhebatkan, selain bertujuan mengumpul semula bijak pandai dan pemikir Islam," katanya.
Menurut Abdullah, kelainan program itu berbanding program-program dakwah lain adalah ia bakal dipersembahkan dengan elemen audio visual di layar gergasi serta rakaman pelbagai pengalaman dan temu bual bersama tokoh, personaliti serta orang ramai.
Bicara Agung Panggung Dakwah dianggotai oleh para tokoh Islam terdiri daripada ulama, cendekiawan, pemikir, ahli akademik, guru dan bijak pandai Islam dalam pelbagai bidang.
"Antara nama-nama besar ialah Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria, pendakwah bebas yang juga bekas mubaligh Sabah, Mohd. Farhan Abdullah sudahpun mengesahkan penyertaan mereka untuk siri pertama yang akan diadakan pada bulan Ogos sempena dengan bulan Ramadan.
"Siri pertama Panggung Dakwah akan membincangkan tiga tajuk iaitu Ramadan Terakhir, Ramadan Sebenar dan Kembara Mencari Malam Lailatul Qadar.
"Selain itu, bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor juga telah menyatakan persetujuan untuk mengambil bahagian dan berkongsi kisah hitamnya yang lebih 30 tahun tidak berpuasa selain melakukan pelbagai kemungkaran lantaran hidup jauh tersasar daripada ajaran Islam," kata Abdullah.
Menurutnya, program itu dirancang untuk diadakan pada setiap bulan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, moderator berpengalaman, Aziz Desa dipilih memimpin program dari awal hingga akhir bagi mengendalikan pelbagai aktiviti di sepanjang program ini berlangsung seperti sesi dialog, bual bicara, soal jawab dan pengakuan.
Antara topik-topik yang bakal dibawakan seperti Kematian, Syurga VS Neraka, Rasulullah Menangis, Kiamat, Aurat Sebenar Islam, Allah Maha Besar, Alam Kubur dan pelbagai topik menarik lain.
Dalam program itu, kemelut dan isu yang membabitkan umat Islam seperti gejala sosial, rasuah, perpecahan, fitnah, murtad dan sebagainya akan turut dibincangkan.
Pada peringkat permulaan, Siri Bicara Agung Panggung Dakwah disasarkan kepada golongan pertengahan atas terdiri daripada golongan profesional swasta dan awam yang berumur 40 tahun dan ke atas.
Namun, ia akan dibuka kepada semua peringkat umur dan lapisan masyarakat dalam tempoh 12 bulan daripada siri pertama dilancarkan.
Orang awam yang berminat menyertai program itu dikenakan bayaran RM150.
Peserta akan diberikan sijil penyertaan dan program ini diadakan di dewan berhawa dingin.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Jawahir, Winarti atau Zarina di talian 03-6140 6799 / 03-6150 5799 atau 012-342 0423. Layari laman web sosial Facebook 'Panggung Dakwah' atau laman web www.pearlislam.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: