|
|
Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Bot Lumba anjuran RA3 Eduscience Corporation Sdn. Bhd. (RA3) yang melibatkan penyertaan 2,000 pelajar dari 313 buah sekolah rendah dan menengah seluruh Semenanjung Malaysia merupakan salah satu platform terbaik untuk menanam serta menggalakkan minat terhadap inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pertandingan yang julung kalinya diadakan di negara ini diharap dapat mencungkil lebih banyak bakat muda kreatif di kalangan pelajar sekolah.
"Usaha seperti ini berupaya menjadi platform alternatif dalam menghasilkan lebih ramai pencipta muda di kalangan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik malah mahir ke arah inovasi dan kreatif serta berfikir di luar kotak," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Presint 9 (2), Putrajaya, baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran yang memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai ilmu sains dan teknologi dalam konteks berbeza ini diharap dapat membina kemahiran dan memberi pelajar peluang untuk mempraktikkan kreativiti merekacipta sesuatu objek.
Sementara itu, Pengarah Teknikal RA3, Azril Hamzah berkata, selain menghasilkan persekitaran yang inovatif, pertandingan seumpama ini juga berupaya menyediakan kaedah pembelajaran sains dan teknologi yang menyeronokkan dan menarik kepada para pelajar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: