BAGI mereka yang gemar melancong, Australia merupakan antara negara yang wajib dilawati. Sememangnya Australia mempunyai pelbagai tempat percutian menarik dan mengagumkan apatah lagi bagi mereka yang pertama kali berkunjung ke negara kanggaru itu.
Sememangnya sejarah panjang negara ini adalah sesuatu yang menarik untuk diketahui. Australia ialah sebuah negara di Hemisfera Selatan yang terdiri daripada tanah besar yang juga merupakan benua terkecil di dunia. Tanah besar Australia telah dihuni sejak 60,000 tahun lagi oleh orang-orang asli Australia.
Nama 'Australia' yang berasal daripada bahasa Latin, australis, yang bermaksud di selatan. Malah dikatakan legenda tentang Australia telah diceritakan sejak zaman orang Rom lagi dan dikenali sebagai "sebuah tanah yang tidak dikenali di selatan" (terra australis incognita).
Apabila menyentuh tentang pelancongan di sini pastinya kebanyakan pelancong memilih Gold Coast sebagai destinasi utama. Bandar ini terkenal dengan pantainya yang berombak-ombak, taman tema yang dipenuhi roller coaster, Studio Warner Bros selain koala dan kanggaru.
Mengasyikkan
Selain Gold Coast, bandar Melbourne yang terletak di negeri Victoria turut menjanjikan destinasi pelancongan yang mengasyikkan.
Berdasarkan statistik tahun lepas yang dikeluarkan oleh Tourism Victoria jumlah pelancong Malaysia ke Melbourne mencecah 91,000 orang iaitu meningkat 24.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
angka itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bandar tersebut menjanjikan pengalaman percutian yang tidak boleh dilupakan.
Dengan pantai yang indah, flora dan fauna mengasyikkan selain gunung ganang yang menjanjikan pelbagai aktiviti menarik seperti meluncur salji dan menawan puncak gunung bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak, Melbourne sememangnya destinasi paling sesuai untuk percutian anda.
Selain itu Melbourne juga terkenal sebagai syurga membeli belah dengan pelbagai penganjuran pertunjukan fesyen terkini selain pesta dan festival sepanjang tahun.
Apatah lagi dengan kemudahan penerbangan secara terus ke Melbourne melalui perkhidmatan yang ditawarkan pihak Malaysia Airlines (MAS), AirAsia X dan Emirates pasti memudahkan lagi percutian idaman anda ke bandar ini.
Jika berhajat untuk menjelajah ke seluruh negeri Victoria, anda boleh menggunakan laluan Great Southern Touring Route (GSTR) yang dianggap sebagai salah satu penjelajahan pelancongan terbaik di dunia kerana ia menjanjikan pemandangan indah dan mengagumkan sepanjang perjalanan.
Sepanjang perjalanan menggunakan kenderaan darat, anda akan menikmati pemandangan mengasyikkan apabila melalui bandar dermaga Geelong dengan menjelajah laluan tepi pantai yang indah.
Laluan tersebut juga akan turut melalui kawasan tinggalan sejarah penduduk asli Australia selain kawasan bersejarah seperti perlombongan emas yang terletak di Ballarat.
Selain itu anda juga boleh melalui sendiri pengalaman memandu dari Sydney ke Melbourne yang kini semakin mendapat sambutan ramai. Anda boleh memilih dua laluan utama untuk pengalaman tersebut iaitu dengan menggunakan jalan Sydney Melbourne Coastal Drive dan Sydney Melbourne Heritage Drive.
Sepanjang perjalanan antara dua bandar terbesar di Australia ini anda akan menjelajah pelbagai sejarah yang terdapat di situ selain menikmati pemandangan indah di pergunungan salji serta laluan pantai yang indah dan mengagumkan.
Antara tempat-tempat menarik yang boleh anda terokai di Melbourne adalah:
Peninsula Hot Spring
Merupakan satu-satunya kawasan yang menempatkan kolam air panas semulajadi di Australia. Kawasan ini merupakan tempat yang harus dilawati ketika berkunjung ke Mornington Peninsula. Kolam di sini menawarkan kolam air panas berdasarkan reka bentuk ‘onsen’ Jepun selain bilik wap Turki dan urutan tradisonal bersandarkan tradisi penduduk asli.
Pulau Philip
Pulau yang terletak lebih kurang 90 minit pemanduan dari bandar Melbourne ini merupakan tarikan utama bagi mereka yang gemarkan kehidupan aman damai dengan suasana hutan dan binatang liar. Selain itu bagi peminat kereta lumba anda boleh saksikan sendiri salah satu perlumbaan tersohor dunia di Philip Island Grand Prix Circuit yang melibatkan perlumbaan kereta Porsche GT3 dan V8 Supercar. Selain itu pelbagai tarikan menarik lain boleh didapati di Pulau Philip antaranya kilang coklat Pulau Philip, Maru Koala Park, Rhyll Fishing Park, Penguin Parade dan Wildlife Coast Cruises.
Pelancongan di puncak
Bagi menikmati percutian yang berbeza anda boleh memilih pakej Victoria Advanture Trail. Ia bermula di Yarra Valley yang menjanjikan pemandangan alam yang memukau selain berkunjung ke kawasan ladang anggur untuk dijadikan ‘wine’ sebelum berakhir di Great Alpine Road. Untuk menikmati pemandangan salji anda boleh berkunjung ke Gunung Buller hanya melalui tiga jam perjalanan melalui kereta dari bandar Melbourne. Selain Gunung Buller anda juga boleh berkunjung ke Falls Creek yang juga merupakan kawasan resort salji paling besar di Australia.
Fairway Resort
Terletak di tengah-tengah Mornington Peninsula, Fairway Resort adalah tempat sesuai bagi mereka yang mahukan percutian peribadi, jauh dari hiruk pikuk kota. Dilengkapi 39 bilik mewah di Rosebound Country Club kelab ini juga menawarkan padang golf 18 lubang bagi para penggemar golf. Kawasan resort ini yang terletak berdekatan kawasan hutan yang masih belum terusik bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak dan selain itu anda juga boleh berkunjung ke kawasan pantainya yang indah, terletak berhampiran kawasan perkampungan Rosebud.
l Maklumat ihsan daripada Destination Melbourne.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: