|
| Mila |
KECEWA dengan proses penjualan album terbarunya, Mila Jirin dikatakan mahu menarik balik penjualan albumnya daripada sebuah syarikat rakaman.
Ada cerita yang mengatakan penyanyi asal Pulau Pinang itu tidak berpuas hati dengan syarikat rakaman yang seakan tidak bertanggungjawab memasarkan album berkenaan. Terdapat juga cerita yang kononnya penjualan album Mila tidak seperti mana yang diharapkan, langsung tidak ada promosi dan seterusnya mendatangkan kegusaran pada hati penyanyi yang mula popular dengan lagu Persis Mutiara itu. Apa yang telah terjadi? Adakah benar cerita yang bertebaran itu sememangnya memberikan kesan yang kurang baik pada album yang diberi judul Mila Jirin ? Atau memang album itu sendiri yang tidak mendapat sambutan. Tidak mahu terus mendengar cerita yang samar-samar itu, Pancaindera meminta penyanyi itu mengulas kemelut yang melanda dirinya dan syarikat Erama Record yang bertanggungjawab memasarkan album berkenaan. Tidak mahu terus menuding jari terhadap pihak tersebut dan kedua-duanya baik dari pihaknya sendiri perlu adakan satu sesi perbincangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi ini. “Saya memang betul-betul kecewa dengan keadaan ini , namun saya tak nak mengeluarkan tuduhan melulu. Sudah tujuh bulan album kedua Mila dilancarkan, namun jualannya tidak seperti yang kita jangkakan, saya sungguh kecewa dengan keadaan ini,” ujar Mila kepada Pancaindera baru-baru ini.Tambah Mila, album keduanya itu telah dilancarkan sejak awal tahun lagi, namun perjalanan jualan album tersebut terlalu perlahan. “Peminat Mila sendiri ada memberitahu album terbaru Mila tiada di pasaran kawasan mereka, Mila amat terkejut dengan situasi ini. Mila akan adakan perbincangan dengan pihak syarikat tersebut kemungkinan minggu hadapan. Mila tak nak terus menuduh tanpa sebarang perbincangan, mungkin mereka sendiri ada masalah yang sedang dihadapi,” katanya. Tambahnya lagi, syarikat rakaman ini sebenarnya banyak membantu dalam penerbitan album terbabit sebelum ini, katanya dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sedang berlaku ketika ini.
“Mila tak nak terus menarik diri daripada syarikat tersebut, apa-apapun biarlah perbincangan dilakukan terlebih dahulu dengan pihak syarikat terbabit. Mila akan mencari syarikat edaran baru bagi mengedar dan mempromosikan semula album kedua Mila ini.
“Kecewa sahaja tidak cukup, Mila perlu mencari jalan penyelesaiannya bagi menyelesaikan masalah yang Mila hadapi ketika ini.”
Katanya, syarikat miliknya sendiri iaitu, MJ Panacea Records Sdn. Bhd. tidak mampu untuk melakukan proses promosi album ini kerana memakan kos yang sangat tinggi.
“Selepas ini, saya tidak kisah untuk keluarkan sedikit duit daripada membiarkan sahaja album tersebut di pasaran tanpa sebarang promosi. Sudah tentu banyak perkara yang akan dibuat semula terutamanya pembungkusan semula album tersebut dan edar semula ke pasaran,” jelasnya yang baru sahaja pulang dari Farrington, United Kingdom untuk menghabiskan rakaman 10 buah lagu Inggeris bagi album terbarunya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: