FILEM KL Gangster yang mencecah RM12 juta telah menjadi satu bualan hangat peminat filem tempatan. Ini adalah pungutan tertinggi dan filem ini juga dilihat sebagai sebuah karya yang berjaya menaikkan kembali martabat filem Melayu.
Tidak hanya filem seram sebelum ini, genre aksi telah diketengahkan dengan cemerlangnya oleh pengarah muda, Syamsul Yusof.
Kejayaan demi kejayaan yang diperlihatkan oleh Syamsul menunjukkan dia telah mendapat sentuhan tersendiri bagi menghasilkan filem yang digemarinya.
Khabar terbaru KL Gangster akan mempunyai sekual iaitu KL Gangster 2, mungkin filem ini juga diharapkan akan memberi kesan yang besar kepada industri perfileman tempatan. Namun, jika diperhatikan secara teliti dalam filem pertama ini, banyak persoalan masih belum terjawab.
Secara umumnya, filem ini berjaya diolah oleh pengarah dengan plot penceritaan yang begitu mudah difahami oleh setiap pelusuk penonton.
Hakikatnya, filem aksi ini sebenarnya memerlukan penerangan dengan lebih jelas jika diterbit sebuah lagi “episod awal” atau origin filem ini. Maksudnya kisah terdahulu yang tidak dipaparkan dalam KL Gangster diisi kepada sekuel ini.
Banyak persoalan yang boleh dijawab sekiranya “episod awal” filem ini diterbitkan. Sebagai contoh penonton boleh melihat bagaimana kekuasaan Malik lakonan Aaron Aziz yang dikatakan seorang gangster yang digeruni sebelum dia dipenjarakan.
Mungkin pengaruh Malik serta zaman kegemilangannya boleh diceritakan balik dan mungkin dengan cara ini, penonton serta peminat tidak sabar untuk menunggu dan melihat sendiri di sebalik kehidupan gangster Malik sebelum ini.
Bagaimana cara Malik dan King sebelum ini sama-sama menaikkan kumpulan mereka perlu juga dikupas secara terperinci, episod ini akan menjadi lebih menarik.
Selain itu juga, watak Shark lakonan Syamsul sendiri juga banyak yang perlu dikupas, misalnya bagaimana dia berjaya memusnahkan kuasa Malik sehinggakan Malik dipenjarakan.
Dalam pada itu, ada dalam satu babak filem KL Gangster yang menyatakan watak King lakonan Rizduan Hashim memusnahkan hidup ibu Shark, bagaimana cara King memusnahkan hidup ibu Shark juga perlu dikupas kerana itu adalah satu penyebab besar dendam yang menyebabkan King telah dibunuh.
Walaupun kehadirannya sekejap dalam filem ini, namun watak Fadil lakonan Zizan Raja Lawak begitu dinanti-nanti, sikapnya yang lucu serta sebagai penasihat kepada Malik adalah watak yang perlu ada dalam setiap filem.
Watak tersebut adalah untuk merehatkan fikiran penonton yang telah disajikan dengan adegan aksi yang ganas. Walaupun wataknya tidak terlalu besar, namun persahabatannya dengan Malik sebelum ini perlulah diceritakan kembali.
Dalam pada itu juga, dalam filem KL Gangster ini ada juga menyatakan adik perempuan Malik telah dirosakkan oleh kumpulan gangster lain yang berdendam dengan Malik ketika zaman kegemilangannya.
Segala persoalan serta kisah sebelumnya perlu diceritakan semula dalam episod awal filem KL Gangster ini. Mungkin baik kalau diterbitkan The Origin of KL Gangster dan rekod angka RM12 juta itu akan terpadam dan fenomena kegilaan terhadap filem ini akan terus hebat.
Menarik juga kalo ade origin tuh.. nk tgk zaman kegemilangan malik..
ReplyDelete