STATISTIK kiriman dan penghantaran bungkusan dan juga dokumen pada musim perayaan meningkat setiap tahun. Senario ini disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi PosLaju, Nor Azizan Tarja yang turut mengakui bilangan kakitangannya ditambah semata-mata untuk memenuhi keperluan operasi yang meningkat sempena musim perayaan ini.
Tambahnya, peningkatan tersebut bukan hanya berlaku pada Hari Raya Aidilfitri malah Tahun Baru Cina, Krismas dan Deepavali juga.
"Di musim perayaan ini terdapat banyak permintaan untuk menghantar barangan-barangan seperti hadiah, hamper dari badan korporat, kuih- muih, kad raya malah pakaian raya. Di samping itu, syarikat-syarikat juga banyak menggandakan promosi sempena musim perayaan sekali gus menggalakkan kenaikan item kendalian PosLaju. Secara purata item kendalian PosLaju meningkat sebanyak 10 hingga 30 peratus menjelang musim perayaan," ujarnya.
Nor Azizan turut mengakui urus niaga pembelian menerusi Internet semakin mendapat tempat di hati pengguna. Perkara tersebut adalah lanjutan dari perkembangan penggunaan Facebook, Twitter, blog dan sebagainya yang digunakan penjual untuk memasarkan barangan mereka dengan lebih mudah, cepat dan jimat.
Manakala pembeli pula cenderung menggunakan Internet sebagai medium untuk mendapatkan maklumat, membuat tempahan dan pembayaran melalui jaringan perbankan Internet dengan lebih mudah dan cepat tanpa perlu membuang masa ke pusat membeli -belah dan sebagainya.
"Kadar peningkatan ini juga agak ketara sejak tahun lalu di mana peningkatan online business dianggarkan sekitar 25 peratus.
"Pada pendapat saya, punca trend ini adalah peluang mendapat hasil tambahan secara sambilan di kalangan mereka yang bekerja tetap dan juga suri rumah," kata Nor Azizan.
Tambahnya lagi, sebagai syarikat kurier, PosLaju amat menekankan servis kepada pelanggan.
"Aset terbaik PosLaju adalah kakitangan kurier dan kerani yang melakukan tugas di lapangan. Kami amat bertuah mempunyai tenaga kerja yang berdedikasi yang sanggup melaksanakan tugas walaupun berat dan sangat mencabar
"Setiap item yang diterima oleh PosLaju akan diimbas pada setiap pergerakan untuk membolehkan pelanggan mengetahui kedudukan terakhir item tersebut. Setiap kurier PosLaju juga dilengkapi dengan mobile scanner untuk memastikan status dikemas kini di tempat pelangan. Kemudahan ini telah memudahkan pelangan PosLaju. Kebanyakan pengguna akan mengakses Internet untuk mengetahui sama ada item telah berjaya diserah kepada penerima.
"Kami juga melengkapkan kurier dengan kemudahan telefon bimbit bagi memudahkan kurier menghubungi penerima sekiranya perlu sebelum proses serahan dan pick up," katanya yang sentiasa memantau proses kerja dari masa ke semasa dengan kemudahan automasi di setiap pusat PosLaju.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: