|
| YINGLUCK SHINAWATRA |
BANGKOK - Kemajuan ekonomi bukan agenda paling utama kerajaan baharu Thailand, sebaliknya tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan mengekang kos sara hidup, kata seorang menteri kanan semalam.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra yang baru dilantik pada minggu lalu akan membentangkan dasar-dasarnya di Parlimen pada minggu depan.
Mengulas mengenai perkara itu, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan, Kittirat Na Ranong berkata, antara agenda utama kali ini termasuk gaji minimum AS$10 (RM29.80) sehari, potongan cukai syarikat, pengurangan harga bahan api dan kempen bagi membanteras penyalahgunaan dadah.
"Kerajaan-kerajaan lain mungkin akan menumpukan kepada pertumbuhan ekonomi dan itu adalah wajar. Namun, kami mengambil berat bukan terhadap pertumbuhan ekonomi semata-mata tetapi untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan bagaimana untuk mengagihkan pendapatan lebih tinggi ini dengan adil kepada setiap orang," kata Kittirat.
Kenyataan menteri berkenaan menandakan kerajaan pimpinan Yingluck akan meneruskan dasar populis yang memberikan kemenangan kepada parti yang dianggotai beliau pada pilihan raya 3 Julai lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: