Sunday, August 14, 2011

"Kepuasan" baru Syafinaz


Syafinaz


TUGASAN mengajar vokal di kalangan orang dewasa memang mudah. Bagaimanapun, ‘keperitan’ berbeza andai berdepan dengan kumpulan kanak-kanak.

Biarpun punya pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang tersebut, namun tidak mampu untuk menangani situasi tatkala berdepan dengan si kecil.

Macam-macam kerenah yang perlu dilayan. Nada suara dan pendekatan juga perlu berbeza. Kalau mengherdik sedikit, pasti ada yang muncung mulut dan merajuk di balik almari.

“Itu yang saya alami sewaktu mengajar 37 kanak-kanak Kumpulan Koir Permata Seni yang digilap menerusi program Permata Seni Negara sejak setahun setengah lalu,” dedah penyanyi bersuara soprano, Syafinaz Selamat.

Baginya mengajar kanak-kanak memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Perlu bijak mengambil hati mereka sewaktu belajar.

“Kanak-kanak tak tahu membaca nota. Jadi

saya kena ajar mereka tahap demi tahap. Kalau ada yang tercicir, saya kena ulang semula. Begitulah rutin pengajarannya.

“Kanak-kanak perempuannya pula lebih bersemangat dan rajin mengulangkaji sesudah pembelajaran. Kalau budak lelaki pula, tumpuannya kejap saja. Lebih suka kepada permainan,” sambung Syafinaz bercerita tentang perbezaan antara dua jantina itu.

Bagaimanapun, Naib Juara pertandingan Hiburan Minggu Ini (HMI) 1999 ini juga cukup teruja dengan semangat yang dipamerkan oleh kanak-kanak Permata Seni Negara itu.

Apatah lagi sewaktu menyertai World Peace Choral Festival 2011 yang diadakan di Vienna, Austria mulai 25 hingga 28 Julai lalu.

Bertindak sebagai pengarah koir bersama tujuh pembantu mereka terbang ke negara tersebut seawal 19 Julai.

Di situ mereka berkampung hampir dua minggu membuat persiapan rapi. Tambahan pula festival itu adalah acara luar negara yang pertama disertai kumpulan koir tersebut.

“Apa yang membanggakan saya, mereka semua menunjukkan semangat dan berusaha kuat. Jelas kelihatan di wajah masing-masing.

“Kejadian itu secara tak langsung buat saya kembali tersedar bahawa sebenarnya susah nak mencari kanak-kanak yang ada bakat menyanyi, tidak malu untuk ke hadapan dan punya personaliti.

“Jerit perih saya mengajar mereka semacam dah terbalas. Sesuatu rasa yang cukup indah buat seorang cikgu apabila melihat prestasi anak muridnya,” imbas wanita ini.

Ditanya kepuasan buat seorang guru koir sepertinya, pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini ada jawapannya.

“Saya lebih berbesar hati andai dapat mengumpulkan lebih ramai peserta lelaki dalam satu kumpulan muzik. Sebab lelaki punya lontaran suara lebih padu berbanding perempuan,” katanya.

Mengulas tentang album barunya, ada nada keriangan di wajahnya. Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini memberitahu bahawa dia sedang dalam proses untuk menyempurnakan lapan lagu dalam albumnya.

“Enam lagu sudah siap sementara dua lagi sedang dalam penyesuaian. Album kali ini lebih istimewa kerana saya yang mengeluarkan semua idea termasuk konsep lagu dan keseluruhannya.

“Saya tak mahu labelkan genre konsepnya sebab ia gabungan pop kontemporari dan klasik barat yang disesuaikan dengan halwa telinga masyarakat tempatan.

“Ada juga seperti bunyi opera yang diolah menjadi sedikit hip hop. Apapun saya berdoa agar pendengar Malaysia boleh terima pembaharuan yang cuba saya ketengahkan,” terangnya panjang lebar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: