ALOR SETAR - Tindakan seorang wanita Thailand yang sanggup menjadi 'keldai dadah' untuk menyeludup 11 ketulan mampat ganja bernilai RM33,000 memakan diri apabila dia ditahan di Terminal Bas Shahab Perdana di sini Sabtu lalu.
Wanita berusia 28 tahun tersebut ditahan ketika dia sedang menunggu bas ekspres untuk ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.30 malam. Polis tidak menemui sebarang dokumen perjalanan padanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Supritendan Baharom Othman memberitahu, sepasukan polis Bukit Aman dan Kedah bertindak menahan suspek selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan pada beg yang dibawa suspek menemui 11 ketulan mampat ganja seberat 10.9 kilogram dibalut menggunakan kertas aluminium yang disembunyikan bersama pakaian.
"Dadah tersebut dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan. Kita percaya ia melibatkan rangkaian sindiket antarabangsa," katanya.
Tambahnya, suspek tidak bekerja dan pandai bertutur bahasa Melayu. Polis percaya dia telah dijadikan 'keldai' untuk menyeludup dadah.
Suspek kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: