Tuesday, August 2, 2011

'Kami dilayan macam banduan'


Nasirruddin Yazid
MOHD. RAFSANJANI (depan) bersama pelajar lain menunjukkan kepala mereka yang dibotakkan ketika ditemui di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Seramai 33 pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda (SMKBBU) di sini mendakwa mengalami penderaan fizikal dan dilayan seperti banduan semasa menjalani program motivasi di Penjara Kluang hujung minggu lalu.

Ketika program selama tiga hari dua malam bermula Jumaat lalu itu, mereka mendakwa diarah oleh warden penjara memakai pakaian banduan selain digari, ditampar, dipukul dan ditumbuk di perut hingga ada pelajar menangis.

Seorang peserta, Mohd. Rafsanjani Mohd. Rafi, 16, mendakwa, pihak sekolah memaklumkan bahawa program tersebut adalah untuk para pelajar yang mempunyai masalah disiplin.

"Apabila tiba di penjara, kami diminta menyerahkan barangan peribadi dan rambut kami dipotong sehingga pendek sebelum dibawa ke asrama.

"Keesokan harinya, ketika lawatan di penjara, saya terkejut apabila dimarahi dan dicekik oleh warden penjara," dakwanya di sini semalam.

Katanya, dia dipilih mengikuti program berkenaan kerana ponteng sekolah selama 10 hari tahun ini.

Rakannya, Syed Amirul Khair Syed Khaidir, 16, pula mendakwa, para pelajar didera melakukan pelbagai aktiviti memeritkan seperti tekan tubi, berguling atas jalan dan ketuk ketampi sebanyak 150 kali.

"Kami dilayan macam banduan dan saya sendiri ditumbuk di perut selain ditampar dua kali," dakwanya.

Dalam pada itu, ibu kepada Mohd. Rafsanjani, Wan Zuhidah Zainal, 41, berkata, pihak sekolah menghantar surat kepadanya tentang program itu tetapi tidak dinyatakan pengisiannya.

"Saya hanya mengetahui mereka dihantar ke penjara apabila bertanya guru di sekolah selepas curiga melihat pelajar dibawa menaiki bas Jabatan Penjara," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Johor, Datuk Maulizan Bujang berkata, jika dakwaan itu benar, pihak sekolah perlu mengkaji semula pengisian program.

"Saya telah meminta Jabatan Pelajaran menyiasat dakwaan ini, begitu juga dengan pihak sekolah," katanya ketika dihubungi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Datuk Samsol Bari Jamali mengakui pihaknya mengetahui pelajar terbabit perlu menjalani simulasi kehidupan di penjara malah sekolah itu adalah yang ketiga mengikuti program sama.

Beliau berkata, pihak pentadbiran sekolah akan bersemuka dengan pelajar terbabit apabila sekolah dibuka esok.

Ketua Pemuda UMNO Johor Bahru, Khalid Mohamed yang menerima aduan terbabit berkata, satu memorandum yang ditandatangani ibu bapa peserta akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: