APABILA memperkatakan tentang rancangan yang diterbitkan sempena Aidilfitri, tiada lain yang terbayang di fikiran melainkan rancangan berbentuk nyanyian dengan menampilkan barisan artis popular.
Memang kedengaran agak klise. Hampir setiap tahun, stesen televisyen tidak akan melepaskan peluang menerbitkan program sedemikian dalam usaha menarik perhatian penonton terus melekat di hadapan televisyen.
Namun, berbeza pula dengan stesen Astro yang tampil dengan konsep yang lari daripada kebiasaannya apabila menggabungkan sketsa, permainan dan nyanyian dalam satu program.
Dengan menggabungkan nama-nama besar industri hiburan tanah air ketika ini, Mega Raya 2011 pastinya akan memberikan santapan baru yang lebih segar buat pelanggan setia Astro.
Mula diperkenalkan sejak tiga tahun lalu, memang tidak dapat dinafikan lagi jenama Mega Raya telah berjaya membentuk kelompok peminatnya yang tersendiri.
Pengurus Pemerolehan Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkata, atas alasan itu jugalah, pihaknya membuat keputusan untuk mengubah konsep Mega Raya kali demi mengelakkan rasa bosan di kalangan penonton.
“Kalau diperhatikan, program Mega Raya memang cukup sinonim dengan konsep nyanyian sejak dari tahun 2009. Di awal penerbitannya, penglibatan artis-artisnya adalah dari kalangan wajah eksklusif Astro sahaja.
“Tidak mahu terlalu terikat dengan konsep begitu, kami mengubah kandungannya tahun demi tahun sehinggalah kami mendapat idea baru untuk Mega Raya kali ini.
“Jadi, dengan adanya gabungan sketsa, nyanyian dan permainan dalam Mega Raya 2011, sudah pasti ia menjadikan program ini lebih menarik untuk ditonton,” ujarnya ketika ditemui pada rakaman program tersebut di Filem Negara Malaysia, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Untuk program Mega Raya 2011, barisan artis utama yang terlibat sudah tentu wajah-wajah eksklusif Astro seperti Aznil Nawawi, Erra Fazira, Jimmy Shanley, Scha Alyahya, Farid Kamil dan Elfira Loy.
“Memang sudah menjadi satu kelaziman buat kami untuk mengumpulkan semua wajah eksklusif Astro dalam program istimewa seperti ini. Sebelum ini mereka hanya dapat dilihat menerusi program mahupun drama lakonan mereka.
“Di sinilah terletaknya keunikan Mega Raya apabila mereka semua disatukan di atas pentas dan melibatkan diri dalam program yang lari daripada skop kerja asal mereka,” katanya.
Selain itu, Mega Raya 2011 juga tidak ketinggalan menampilkan artis-artis kelahiran Astro serta mereka yang berkhidmat di bawah payung yang sama seperti Akim, Zizan Razak, Erul selain penyampai Era FM, Adi Fashla dan Ira.
Bukan itu sahaja, Mega Raya 2011 turut menampilkan beberapa artis popular seperti Ziana Zain, Kilafairy, Ana Raffali dan Kamal Adli untuk turut serta dalam program yang menampilkan empat segmen ini.
“Memang kami sengaja mahu menampilkan artis-artis ini bagi memberi kelainan untuk Mega Raya 2011 selain memberi peluang kepada peminat masing-masing untuk melihat persembahan serta aksi mereka dalam program ini.
“Inilah peluang untuk peminat melihat bagaimana artis-artis dikenakan dan ‘dikotorkan’ menerusi pelbagai permainan yang pastinya mencuit hati penonton kelak.
“Dalam masa yang sama, penglibatan mereka juga dilihat mampu mengubat kerinduan peminat yang mungkin sudah lama tidak menonton kelibat artis kesayangan mereka di kaca televisyen dalam program hiburan seperti ini,” jelas Raqim panjang lebar.
Dalam masa yang sama, dia turut memberitahu, pihaknya memang mahu menampilkan lebih ramai artis untuk Mega Raya kali ini.
Tetapi, kebanyakannya tidak dapat memberikan komitmen lantaran jadual kerja yang padat selain mahu merehatkan diri mereka untuk tidak melibatkan diri dalam sebarang program sempena Syawal.
“Insya-Allah, jenama Mega Raya tetap akan diteruskan untuk tahun-tahun yang mendatang. Sudah pasti cabarannya terletak kepada kemantapan kandungannya dan ikrar kami adalah untuk menampilkan kelainan setiap tahun,” kata Raqim bersungguh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: