Thursday, August 18, 2011

Jelajah zakat Klife


Seorang warga emas terharu menarima sumbangan daripada Normaziah Sheikh Mohamad (kiri).


RAMADAN sesungguhnya bulan ibadat yang penuh berkat. Bukan saja menjalani Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa, malah sepanjang Ramadan umat Islam mengambil kesempatan memperbanyakkan sedekah.

Pelbagai amalan lain untuk mengimarahkan bulan Ramadan turut menjadi rebutan umat Islam yang tidak mahu melepaskan peluang membantu golongan fakir dan miskin.

Kesemuanya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan supaya Ramadan dapat dilalui dengan penuh kesyukuran.

Memberi zakat yang menjadi tuntutan agama turut disempurnakan sepanjang Ramadan.

Inilah bulan di mana golongan kaya membersihkan pendapatan mereka dengan cara berkongsi keuntungan serta kekayaan bersama golongan miskin.

Klife Global, sebuah syarikat yang diasaskan Datuk Normaziah Sheikh Mohamad tidak ketinggalan menghulurkan zakat kepada golongan memerlukan sepanjang Ramadan.

Menerusi projek Jelajah Zakat Klife, Pengarah Urusan syarikat itu bersama-sama kakitangannya menghulurkan sumbangan kepada golongan miskin di lapan buah negeri.

Minggu pertama Ramadan, Jelajah Zakat Klife bertemu penerima zakat di Johor Bharu, dan majlis penyerahan zakat berlangsung dalam suasana harmoni.

Selain menerima wang tunai, Klife turut menyumbangkan beras dan produk kesihatan keluaran syarikat itu yang bersesuaian untuk dimanfaatkan oleh penerima.

Negeri Sembilan menjadi negeri kedua menerima kunjungan Jelajah Zakat Klife. Berlangsung di Kuala Pilah, Normaziah bersama suami, Datuk Ir. Hanafi Daud yang merupakan Presiden Klife mengunjungi penerima zakat dari rumah ke rumah.

Sememangnya kunjungan sebentar pasangan itu bersama kakitangan Klife untuk menyerahkan bantuan menyentuh hati penerima yang terdiri daripada warga tua yang uzur.

Ada air mata mengalir tatkala sumbangan dihulurkan. Mereka sempat bertukar cerita tentang pengalaman berpuasa terutama warga tua yang tinggal bersendirian di rumah usang.

Jelajah Zakat Klife dimulakan pada tahun lepas dengan kunjungan ke lima buah negeri.

Pada tahun ini, tiga buah negeri lagi mendapat perhatian Klife menjadikan lapan kesemuanya iaitu Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Sumbangan zakat untuk tahun ini diperuntukkan kepada 1,000 penerima berbanding 700 orang pada tahun lepas.

Normaziah berharap dapat membantu lebih ramai golongan miskin pada tahun-tahun akan datang.

Semasa di Kuala Pilah, satu majlis berbuka puasa turut diadakan bersama penerima zakat yang tidak sempat menerima kunjungan Normaziah di rumah.

Kesempatan bersama kelompok penerima zakat, Normaziah turut berkongsi nasihat serta panduan kepada mereka yang ditinggalkan suami supaya menghadapi cabaran hidup dengan lebih tabah.

''Saya berasal daripada keluarga miskin dan saya tahu bagaimana penderitaan mereka terutama kaum wanita yang ditinggalkan suami.

''Mereka terpaksa bekerja keras untuk membesarkan anak-anak dalam keadaan serba kekurangan.

''Oleh itu apabila saya mempunyai kemampuan, maka adalah menjadi cita-cita saya mahu meringankan beban golongan berkenaan,'' kata Normaziah.

Kunjungan ke negeri-negeri di wilayah utara berlangsung pada 13 dan 14 Ramadan. Teluk Kumbar, Pulau Pinang; Kulim, Kedah; dan Batu Kurau, Perak antara kawasan yang dikunjungi Normaziah sambil ditemani Pegawai Perhubungan Awam Klife, Ahmad Zaidi Mohamad Yahya dan Noraishah Tokiran yang berperanan sebagai pembantu peribadi.

Dua lagi negeri menanti kedatangan Klife iaitu Kelantan dan Terengganu bakal melengkapkan Jelajah Zakat Klife 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: