Monday, August 22, 2011

Fizz beraya ke rumah Almy

pix_middle

PERNAH satu ketika, aktor handalan Fizz Fairuz pernah berkata bahawa sudah tiba masanya untuk dia serius dan terus memandang ke depan tanpa perlu melayan segala kontroversi lagi.

Bukan kerana kecewa, terkilan mahupun serik, sebaliknya pelakon yang terkenal menerusi lakonan bersahaja dalam drama rantaian berhantu, Nur Kasih ini enggan membebankan fikirannya dengan hal remeh yang memenatkan.

  • Foto

    Fizz Fairuz

  • Foto

    Jehan Miskin

Lantas bertemu kembali dengannya petang Rabu lalu, anak jati kelahiran Raub, Pahang ini cuba mengelak daripada bercakap soal kontroversi.

Fizz hari itu digandingkan dengan seorang lagi aktor berbakat besar, Jehan Miskin. Masing-masing tidak henti berkongsi cerita dan pengalaman lampau.


Namun, kesimpulan selepas lama berborak, baik Fizz mahupun Jehan sendiri terpaksa akur dengan hakikat kisah peribadi mereka akan disingkap untuk kongsi bersama masyarakat. Mahu atau tidak, itulah realiti menjadi seorang anak seni.


Celah Fizz, itulah lumrah yang terpaksa ditelannya meskipun jauh di sudut hati, tersembunyi perasaan yang kecewa setiap kali dihambat kisah negatif.

“Awal dulu memang sakit hati juga, tapi sekarang saya sudah rasa macam kalis peluru dengan segala kontroversi atau spekulasi yang datang. Mung�kin ia berkait rapat dengan kematangan diri,” kata Fizz tersenyum.

Terlanjur bercerita soal spekulasi, terbaru Fizz juga bintang drama siri Stanza Cinta yang sedang rancak ditayang�kan di TV3 dikatakan mula beralih arah cintanya. Selepas lebih lima tahun menyemai kasih bersama dramatis Almy Nadia, tidak semena-mena timbul pula khabar angin yang mengatakan aktor popular ini meninggalkan kekasihnya untuk seorang lagi dramatis baru.

Bagaimanapun, sebaik dilontarkan persoalan itu, Fizz hanya tersenyum dan tenang mengatur bicara. Selain menganggap cerita yang timbul adalah isu mengarut, malah aktor berusia 32 tahun ini menafikan sekeras-kerasnya akan dakwaan kononnya dia sudah berpisah dengan Almy.

“Memang saya pernah dengar cerita-cerita ini daripada teman dan kenalan namun tidak langsung saya ambil peduli. Bukan kerana tidak gusar atau mengambil mudah sebaliknya saya malas dan penat untuk melayan kisah yang tidak betul seperti ini. Entah dari mana dan sumber mana yang menyebut tapi hakikatnya saya tak pernah pun memutuskan hubungan dengan Almy.

“Kami sudah lebih lima tahun bersama dan mustahil untuk saya melepaskan Almy begitu saja. Kami sudah serasi bersama dan kenal antara satu lain. Malah, sekarang pun saya sudah bersedia untuk membawanya ke peringkat yang lebih jauh kerana sebelum ini masing-masing sibuk dan gigih mengukuhkan nama.

“Insya-Allah kalau diberi rezeki dan keizinan, saya akan mengakhiri hubungan ini dengan cara yang baik tidak lama lagi,” katanya yang enggan mengulas lebih lanjut.

Jika diimbau kembali perjalanan seni dua aktor kacak ini, kedua-duanya bukan asing dengan kontroversi dan seribu satu spekulasi selebriti. Ada saja yang datang melanda, dari kisah kononnya besar kepala, bercinta dan kemudiannya putus kasih hinggalah timbul pula desas-desus kononnya hubungan yang terjalin diganggu pihak ketiga.

Namun menariknya, masing-masing hanya tersenyum dan mula mencatur langkah sendiri dalam mengelak untuk terus dihentam.

Jehan pula sebelum ini sering kali dikaitkan dengan beberapa selebriti wanita dan kemudiannya putus hanya menyifatkan setiap kisah yang timbul adalah satu permainan seni yang tidak perlu disimpulkan menjadi kronik.

“Semua itu adalah asam garam dunia seni dan saya bersyukur kerana apa yang pernah dilalui sebelum ini dijadikan sebagai satu pengalaman dan seterusnya pengajaran dalam mematangkan diri. Jujurnya, saya tidak mahu lagi dilabelkan seperti itu sebaliknya kini ada lebih baiknya semua cerita yang keluar hanya berfokus pada kerjaya semata-mata,” jelas Jehan.

Mengalih sedikit perbualan dan menyentuh soal persiapan menjelang Aidilfitri, Fizz yang kini sibuk di lokasi filem Syaitan Nirajim yang turut membariskan pelakon popular lain termasuk Nabila Huda dan Wan Sharmila tidak sabar untuk pulang ke kampung halamannya di Raub, Pahang bersama keluarga.

Menyifatkan kedatangan Aidilfitri adalah sebuah majlis perhimpunan keluarga yang begitu menyeronokkan, jejaka berusia 32 tahun ini cuba untuk mengintai peluang beraya ke rumah kekasih hatinya yang jauh di Pulau Mutiara.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana setiap kali datang�nya Syawal, ia bagai sebuah permulaan kerana setiap perkara kerana ini satu-satunya peluang untuk saya berhimpun bersama sanak-saudara dan berkunjung ke rumah teman-teman. Itulah kemanisan dan keindahan Aidilfitri yang saya fikirkan rugi jika dilepaskan.

“Tahun ini tiada bezanya kerana seperti tahun-tahun sebelumnya, saya bersama ahli keluarga akan pulang ke kampung halaman. Saya akan cuba untuk pulang lebih awal kerana merancang ingin mencari batang buluh dijadikan lemang bersama sepupu dan saudara di kampung. Jika ada kelapa�ngan pasti saya mengadakan rumah terbuka seperti tahun lalu.

“Insya-Allah saya juga akan beraya ke rumah Almy tahun ini kerana sebelum ini saya memang tidak berkesempatan untuk ke sana bertemu keluarganya ketika Aidilfitri. Jika tiada masalah atau perancangan lain, saya memang akan
ke rumah keluarganya tahun ini,” katanya.

Berbanding Jehan pula yang akan beraya bersama keluarganya di Kuala Lumpur dan berkunjung ke rumah sanak-saudara lebih banyak berkongsi soal kerjanya yang makin bertimbun meskipun tinggal beberapa hari saja menjelang Syawal.

Walaupun sibuk dan berkejar-kejar menyiapkan pelbagai projek yang sedang diusahakan di bawah syarikatnya, Mastermind Group Sdn Bhd, anak kelahiran Gelugor, Pulau Pinang ini berasa puas dan gembira dengan pencapaian jalur perniagaannya.

“Alhamdulillah saya baru saja selesai dengan program televisyen K-Pop Talent Show yang kini ditayangkan di Astro Hitz selepas hampir tiga bulan kami bertungkus-lumus menyiapkannya. Reaksi penonton juga baik dan jika ada rezeki, ia akan disambung ke musim kedua pula,” katanya yang menunjukkan sedikit tayangan promosi program pencarian bakat tarian Korea di Malaysia terbitan syarikatnya.



PROFIL

NAMA SEBENAR: Mohd Jehan Miskin
TARIKH LAHIR: 4 Disember 1979
USIA: 32 tahun
TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang
PENDIDIKAN: Sarjana Muda (Kepujian) Sains Komputer dari University of Lincolnshire, Humberside, United Kingdom
KERJAYA: Model, pelakon, pengacara, penerbit dan Pengarah Urusan syarikat produksi Mastermind Group Sdn Bhd
FILEM: Qaisy & Laila, Gong, Nana Tanjung, Anak Halal, Skrip 7707, Tolong Awek Aku Pontianak, Cun, Hikayat Merong Mahawangsa. Apokalips
DRAMA: Awan Dania, Mertua vs Menantu, Miftahul Jamilah 5 Jingga, Manjalara, Kasih Di Bawah Bayu, Frontpage, Seiras, Dan Jendela Pun Terbuka, Bunga Senja, Traffic Light, Sutra, Bintang Yang Seribu, Pabila Cahaya Bersinar Semula, Begitulah Cinta, Nasrul Genius, Temukan Ertinya, Dengan Nama Cinta



PROFIL

NAMA SEBENAR: Mohd Fairuz Zainal Abidin
TARIKH LAHIR: 22 Oktober 1979
USIA: 32 tahun
TEMPAT LAHIR: Raub, Pahang
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
FILEM: Gerak Khas The Movie, Orang Minyak, Anak Halal dan Nur Kasih
DRAMA: Stanza Cinta, Mentari Corporation, Peluang Kedua, Puteri, Famili Ceria, Dua Hati, Kaizer, Kaber Hero Kaber Zero, Anak Betong, A.D.A.M, Kekasihku Seru ,Nur Kasih
Program televisyen: Oh Rupanya

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: