Tuesday, August 2, 2011

Firdaus janji tak malukan nama besar keluarga seni

Firdaus sebuah nama baru yang mahu mencipta nama dalam bidang seni suara dan muzik. Namun latar belakang keluarganya bukanlah calang-calang keluarga. Dia boleh bersandar pada nama-nama itu.

Sejak zaman moyangnya lagi darah seni mula mengalir dalam diri barisan keluarganya, keluarga Aman Belon yang kini ada nama-nama besar antaranya Datuk Khatijah Ibrahim, Latiff Ibrahim, Sophia Ibrahim, Faizal Hussein, Fairuz Hussein dan ramai lagi.

Firdaus berjanji tidak akan memalukan nama seni yang besar dalam anggota keluarganya, dan dia juga tidak main-main walaupun keputusan merakam album hadir dengan sebab-sebab yang lain.

"Saya bersunguh-sungguh dan berjanji tidak akan memalukan nama keluarga saya. Saya memang mahu menjadikan bidang muzik sebagai kerjaya saya, sebab itulah saya mendalami ilmu dalam bidang muzik," kata Firdaus atau nama sebenarnya Sheikh Mohd. Firdaus Amri Sheikh Mohmed Puzi, 18.

Firdaus kini bernaung di bawah bumbung syarikat Man Kidal Entertainment milik pemain gital kidal terkenal negara. Nampaknya pendatang baru itu bertuah kerana dikelilingi nama-nama besar dalam melangkah ke dunia seni.

"Saya anggap saya sedang memikul tanggungjawab yang besar apabila diberi kepercayaan oleh orang yang memiliki nama besar. Semestinya saya akan berusaha untuk menjadi lebih baik dan tidak sia-siakan peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya," katanya yang masih malu-malu.

Dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran single barunya di Hard Rock Cafe , Kuala Lumpur baru-baru ini, Frdaus masih kekok berdepan dengan media. Apabila diajukan soalan, dia pantas memandang ibu saudaranya, Khatijah yang berada di sebelahnya.

Khatijah membisikkan sedikit jawapan yang boleh digunapakai sebelum dia memberikan pandangannya terhadap soalan yang dikemukakan. Khatijah sedar apa kerutan pada wajah media bila melihat situasi itu, lantas berkata sesuatu.

Katanya: "Firdaus ini memang pemalu orangnya. Dia mula jadi penyanyi ini pada usia saya sendiri mula-mula jadi penyanyi (18 tahun), tapi keadaan dulu lain. Saya sudah terdedah dengan bidang ini terlebih dulu.

"Dia tiadak pernah ada pengalaman macam ini sebab itulah nampak kekok. Saya yakin selepas ini bila dia sudah biasa, keadaannya akan berubah.

"Saya memang memberi sokongan kepada mana-mana anak saudara yang mahu melibatkan diri dalam bidang seni."

Perjuangkan lagu arwah bapa saudara

Penghasilan single baru Firdaus ada cerita sedih yang mahu diperjuangkannya. Lagu Kamar Sepi yang dipertaruhkannya dicipta oleh bapa saudaranya Allahyarham Tahir Ibrahim yang menulisnya berdasar pengalaman sendiri semasa di dalam penjara. Antaranya melihat kenalan di penjara yang meninggal dunia.

Lagu tersebut pernah dirakam oleh Tahir (adik bongsu Khatijah) namun tak sempat dipasarkan kerana dia meninggal dunia empat tahun lalu. Lagu tersebut ibarat wasiat kerana Tahir sendiri yang mahukan ia dirakam oleh Firdaus.

"Arwah Pak Su saya sendiri yang meminta saya memperjuangkan lagu ini. Saya juga mahukan lagu ini menjadi iktibar kepada orang lain.

"Bila saya perdengarkan lagu ini kepada Man Kidal dan bercerita pasalnya, Man juga tertarik dan membuka peluang kepada saya.

"Saya sebenarnya pernah belajar bermain gitar dengan Man Kidal, daripada situlah dia mengesan bakat saya," kata Firdaus pasal kemasukannya dalam syarikat milik Man Kidal.

Lagu tersebut memang menyentuh hati, apatah lagi bagi anggota keluarga yang berasakan ia sebagai luahan hati Tahir yang kini telah tiada. Sebab itulah semasa Firdaus menyanyikan lagu itu, Khatijah kelihatan mengesat air mata. Anggota keluarga lain juga nampak sebak.

Single Firdaus memuatkan sebuah lagi lagu, Bila Cinta ciptaan komposer baru Ali Hanafi. Pihak Man Kidal Entertainment memang ada hasrat untuk memasarkan album penuh Firdaus dan penghasilan dua buah single itu sebagai membuka langkah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: