Wednesday, August 24, 2011

Erti puasa saudara Muslim


BERTADARUS sempena Nuzul Quran di bulan Ramadan.


PENGALAMAN mengerjakan rukun Islam yang ketiga bagi insan yang bergelar saudara Muslim sudah pasti banyak mengajar erti kesabaran dan memerlukan kekuatan iman yang tinggi.

Walaupun masih belum mengerti sepenuhnya erti sebenar di sebalik tuntutan itu, namun semangat dan usaha mereka yang jitu untuk mencuba harus diberi pujian.

Penolong Pegawai Dakwah dan Kebajikan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Amran Abdullah berkata, sepanjang bulan Ramadan, Perkim menganjurkan majlis berbuka puasa, ceramah Ramadan, solat sunat terawih, tadarus al-Quran dan moreh di Surau Perkim, Bangunan Perkim Jalan Ipoh, Kuala Lumpur untuk memberi peluang kepada saudara Muslim merasai kemanisan ibadah itu.

Ia selari dengan sabda Nabi Muhammad SAW: "Dikurniakan kepada umatku pada bulan Ramadan lima kelebihan yang tidak dikurniakan mana-mana umat sebelum mereka: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi, malaikat berdoa diampunkan mereka sehingga waktu berbuka, Allah hiasi setiap hari syurganya, diikat padanya syaitan dan diampunkan bagi mereka pada akhir malam". (riwayat Imam Ahmad dan Muhammad Nasar al-Baihaqi daripada Abu Hurairah).

Itu peranan Perkim untuk memperkasakan aktiviti saudara Muslim agar mereka mendapat tempat yang sesuai untuk menimba ilmu, di samping melakukan ibadah harian sempena bulan Ramadan.

Di samping itu, ia merapatkan silaturahim dan ukhuwah Islamiah dalam meningkatkan keimanan saudara Muslim agar mereka tidak terpesong serta kembali ke agama asal.

Dari semasa ke semasa Perkim memperhebatkan program bagi memperkukuhkan akidah saudara Muslim agar mereka tidak terjebak dengan dakyah yang menyesatkan.

Selain itu, Sahabat Perkim juga tidak ketinggalan memberikan bekalan berbuka puasa seperti buah kurma dan air kepada para pemandu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Penglibatan penyertaan peserta tahun ini meningkat 150 orang berbanding 110 orang pada tahun-tahun yang sebelum ini kerana Perkim bukan sahaja memberi keutamaan berbuka puasa kepada saudara Muslim malah Perkim juga memberikan juadah kepada golongan yang terpinggir iaitu ibu tunggal, fakir miskin, penagih dadah, kutu rayau, orang kurang upaya dan orang kurang siuman.

"Kelab Perkim Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia cawangan Petaling Jaya (UIAM PJ), Kelab Perkim Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Kolej Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut sama memeriahkan majlis bersama saudara Muslim," ujar beliau.

Kata Amran lagi, golongan yang baru memeluk Islam tidak seharusnya merasakan ibadah puasa ini suatu paksaan dan membebankan serta mereka boleh mengerjakan puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Kebiasaan saudara Muslim yang baru memeluk agama Islam ibadah puasa merupakan satu perkara yang sukar bagi mereka untuk melaksanakannya kerana terpaksa berlapar dan dahaga sepanjang hari hingga tiba waktu maghrib.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: