Sunday, August 14, 2011

Cinta maya Yassin-Farah



JODOH itu termaktub sebagai ketentuan Allah. Hadirnya di luar jangkauan dan buat yang menampung rasa kasih dan sayang, magis itu lahir indah tanpa perlu ucapan.

Begitulah yang terzahir pada pasangan baharu ini. Usik-mengusik, gurauan kecil jadi perencah utama sesi temu ramah ini.

Episod cinta Yassin Senario, si pembikin lelucon dan pencetus ketawa marhaen sedang berkembang cantik. Cintanya dicurahkan habis-habisan setelah bergelar suami kepada Farah Wahida Maharidan, 32, sejak tiga bulan lalu.

Yassin banyak senyum-senyum malu, memandang terus ke muka isteri yang dinikahi 15 Mei lalu di Putrajaya. Seperti mahu disimpannya Farah dalam jasadnya kalau dilihat kepada pandangan itu. Ya, bak kata usikan orang tua-tua, ‘Pengantin baru pantang tercuit’.

Bukan rahsia

Bersua pasangan pengantin baru ini pada majlis berbuka puasa program Melodi, Farah dan Yassin bersetuju untuk dipotretkan kali pertama sebagai pasangan.

Ujar Farah, kali pertama mereka muncul di majlis rasmi adalah pada 10 Ogos lalu untuk program Melodi Raya. Rasa kekok tapi dia perlu belajar beradaptasi dengan suasana sebegitu lantaran sekarang sudah bergelar pengurus kepada suami sendiri.

“Bukan niat untuk merahsiakan pernikahan saya. Buat saya, biarlah famili dan saudara terdekat yang tahu. Apa yang penting kami sudah bergelar suami isteri,” kata Yasin sambil melirik kepada si isteri.

Yassin juga membuka cerita cintanya. Katanya, pertemuan di laman maya popular, Facebook, menjadi mukadimah cintanya dan Farah. Ia episod cinta serius mereka.

“Kali pertama berjumpa kami keluar makan ramai-ramai. Kemudian saya hantar mesej di Facebook, mengingatkan dia yang kami pernah bertemu. Lantas selepas itu kami jadi kawan di Facebook dan kerap juga berbual.

“Selepas lama berbual di alam maya, dia minta nombor telefon saya dan ajak keluar. Waktu itu kami sudah lima bulan ‘bertemu’ di Facebook. Selepas itu kami rasmi sebagai pasangan,” ujar Farah yang senang bercerita tentang kisah cinta mayanya yang kemudian bertukar realiti.

Sambung Farah, Yassin kemudian membawanya pulang ke kampung halaman untuk bertemu famili. Nasihat keluarga usah lama-lama ke sana sini tanpa status.

Pesan dan nasihat keramat itu diambil serius. Lalu pada bulan ketujuh perkenalan, mereka mengikat kasih yang utuh dan abadi.


UJAR Yassin, Farah itu wanita tegas dan menjadi pemangkin dalam transformasi dirinya.


Ciri-ciri dicari

Sekarang mereka menjadi suami isteri yang sah dan sedang belajar berkasihan selepas kahwin, sesuatu yang dilakukan oleh pasangan zaman dahulu. Ia manis dan punya tarikan tersendiri.

“Sasaran saya sebenarnya mahu nikah pada usia 25 tahun, ikut Rasulullah SAW. Tapi terbabas.

“Namun, saya bersyukur bertemu jodoh dengan Farah,” terang Yassin dan kemudian mengusik Farah, kenapa lewat dia hadir dalam hidupnya.

“Isteri saya, Farah seorang yang tegas. Itu ciri utama yang saya cari dalam seorang wanita. Agar nanti dia boleh membimbing saya, boleh tegur apa yang patut. Paling penting dia tidak hipokrit.

“Saya hargai kejujurannya dan dia boleh terima saya seadanya,” ujarnya yang tahu bahawa Farah pasti tidak terlepas pandang akan cerita-cerita silamnya baik jernih mahupun keruh.

“Jujurnya saya peminat Senario. Dalam grup tersebut, saya suka Apek dan abang (Yassin).

“Saya pernah pergi sekeluarga melihat persembahan mereka waktu saya di Johor,” ujarnya yang tidak menyangka status peminat bertukar isteri dalam selang waktu yang tidak terfikirkan.

Mengulas si suami yang baru dikenali luar dan dalam masuk hari ke-90, Farah sangat menyenangi sifat penyabar yang dipamerkan Yassin.

Katanya, sangat susah melihat Yassin melempar amarah. Bagi dirinya, Yassin terbalut sifat sabar yang tinggi.

“Marah-marah itu kan perangai jin,” sampuk Yassin senyum.

Ditebak kalau-kalau dalam perangai melucu Yassin yang jelas di pentas dan kaca televisyen terbalut sisi romantik, Farah mengangguk.

“Kadangkala dia romantik, malah kadangkala terlebih. Tapi sebenarnya abang tak banyak cakap,” ujar Farah yang diusik-usik Yassin dengan gerak tubuh manja sepanjang fotografi.

Pengakuan Yassin, dia terkena kejutan budaya. Selesa hidup bersendirian sebelum ini, kini makan pakai dan tidurnya dijaga sang isteri, pengarang hati penenang jiwa.

“Farah banyak mengubah saya. Dulu hidup saya banyak berteman, mahu berkawan-kawan. Tapi kini saya selalu bersamanya,” jelas Yassin yang nampak santai dengan pernyataan itu tapi punya makna yang tersirat.

“Dia kini jadi pengurus saya. Tahu jadual saya. Saya baru selesai dengan filem Sofaz The Movie. Juga bakal muncul dengan program Maharaja Terbaik serta Lawak Minggu Ini di Astro,” ujarnya yang mengaku ada sikap selektif dalam berkarya.


MAHU kelihatan sedondon pada pagi Syawal, pasangan ini teruja untuk beraya bersama.


“Saya bercuti panjang sebelum ini. Saya ambil keputusan untuk memilih kerja sebab mahu bercuti,” ujarnya serius.

Bercerita secara serius, Yassin bangga melihat perkembangan lawak tanah air. Baginya, pelawak-pelawak kini mempunyai tempat tersendiri dan diterima baik khalayak.

“Sebagai penghibur dan pelawak, saya berbesar hati dengan penerimaan masyarakat terhadap pelawak,” ujarnya yang bakal membawa isteri berhari raya di Sentul, Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung halaman isteri di Kluang, Johor.

“Seronok dan teruja mahu beraya dengan suami,” ujar Farah dan disampuk Yassin bahawa mereka mahu pakai baju raya warna sedondon.

Pengantin baharu ini ketara sedang bersanding rasa dan jiwa. Belum terlewat untuk mengucapkan selamat pengantin baharu buat mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: