Thursday, August 18, 2011

Christy akui sudah bercerai


HUBUNGAN Christy dan Jon semakin baik selepas mereka bercerai.


CHRISTY CHUNG mengakui dia sudah beberapa bulan bergelar janda. Menurut laporan media Hong Kong, aktres jelita itu membuat pengakuan terbuka bahawa dia sebenarnya sudah bercerai sejak enam bulan lalu.

Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga Christy dan lelaki yang pernah bergelar suaminya itu, Jon Yen mula diperkatakan sejak Mei tahun ini, selepas Jon meletakkan fotonya bersama yang memeluk seorang gadis misteri di hadapan bangunan Taipei 101 dalam blog miliknya.

Rentetan itu, Christy kemudian memberi reaksi terhadap foto itu dengan menulis dalam blognya yang berbunyi: "Menyayangi insan yang melayan dengan betul dan melupakan orang yang tidak melayan dengan baik."

Sejak spekulasi tersebut tercetus, Christy dan Jon dikatakan sudah tinggal secara berasingan. Apabila media yang menyedari Christy tidak lagi menyarungkan cincin perkahwinan pada jari manisnya, mereka terus bertanyakan mengenai hal itu kepada Christy yang ketika itu sekadar tersenyum dan enggan memberikan jawapan.

Namun, dalam satu temu bual dengan pihak media Hong Kong baru-baru ini, Christy mendedahkan perceraian itu tiada kaitan dengan orang ketiga. Malah katanya, Jon hidup dalam tekanan ketika menjadi suaminya kerana Christy meraih pendapatan yang lebih tinggi berbanding dirinya.

Mereka semakin kurang berkomunikasi biarpun selepas Jon menjadi pengurus kerjaya seninya dan rakan-rakan pula cuba membantu menyelamatkan hubungan mereka.

Tambah Christy, hubungan mereka bagaimanapun semakin baik selepas mereka mengambil keputusan untuk bercerai enam bulan lalu.

"Hubungan saya dan Jon menjadi semakin baik pula selepas kami bercerai enam bulan lalu. Nampaknya kami lebih sesuai menjalinkan hubungan sebagai kawan sahaja," ujar Christy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: