|
| CHEF DON mahu memastikan makanan-makanan di negara ini terus hidup dengan mendokumentasikannya dalam buku Dapur Warisan. |
CHEF Hamidon Hasha Akhbar atau lebih dikenali sebagai Chef Don, kini dalam percubaan kedua untuk menerbitkan sebuah lagi buku masakan.
Baru selesai dengan fasa perancangan dan pemilihan resipi, Chef Don percaya buku baharunya itu bakal menjadi duta buku masakan tradisional istana Melayu Malaysia.
“Buku ini bakal mengumpulkan masakan terpilih dari 13 buah negeri di Malaysia. Dijangkakan antara lima hingga tujuh hidangan akan dikongsi bersama pembaca kelak,” kata Chef Don.
Beliau menambah, buku pertama beliau yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan Utusan Publication and Distributors (UP&D) yang bertajuk Dapur Bonda sebelum ini bertujuan membimbing wanita yang baru menjadi isteri untuk memenangi hati suami mereka.
“Buku itu banyak berkongsi tip masakan dan pelbagai hidangan menarik hasil pengalaman saya sendiri. “Tetapi buku baharu ini berlainan daripada mana-mana buku masakan yang pernah diterbitkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujar pencinta makanan itu, bagi menerbitkan buku tersebut, beliau melakukan pelbagai penyelidikan tentang makanan-makanan Melayu di Malaysia yang di ambang kepupusan.
Contoh beberapa sajian yang hampir dilupakan termasuklah daging jeruk masak lemak dari Selangor, dan ayam penyet dari Melaka.
Sebagai mengangkat martabat makanan-makanan tersebut, Chef Don telah mengumpul makanan-makanan itu dan mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Warisan sebagai makanan warisan.
|
| BUKU Dapur Bonda banyak membantu wanita-wanita yang baru bergelar isteri menambat hati suami dengan masakan mereka. |
Buku yang bertajuk Dapur Warisan mengandungi sekurang-kurangnya 65 resipi termasuk 25 pencuci mulut, 20 petua masakan, 25 jenis khasiat ulam, 15 jenis sambal dan 15 jenis peralatan masakan tradisional.
Jenis makanan
Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, buku tersebut bakal menjadi panduan lengkap bukan sahaja untuk memasak bahkan pelbagai tip dan informasi penting.
Bertugas sebagai Penasihat Makanan di Selera Kota Food and Service Sdn. Bhd, Kuala Lumpur sepanjang Ramadan ini, Chef Don turut menyenaraikan beberapa masakan yang bakal dikongsi dalam buku baharunya itu.
Antaranya ialah koleh lemak dari Pahang, sup sirip ikan yu dari Sarawak dan sebagainya.
“Melalui perkongsian ini, diharap makanan-makanan ini tidak akan lapuk dek hujan lekang dek panas,” kata bekas graduan diploma Chef Teknik dari Institut Raffles, Kolej Olympia, Petaling Jaya.
Selain terlibat dalam penulisan buku, Chef Don juga mempunyai pengalaman luas sebagai chef lebih sedekad.
Malah, beliau juga pernah menjadi perunding kulinari dan duta kecil masakan Malaysia untuk membuka restoran di luar negara iaitu Langkawi Place Restaurant di Sudan.
Chef Don juga pernah mewakili Persatuan Chef Malaysia untuk menjayakan program memasak pulut panggang terpanjang sempena acara Cita Rasa Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: