Wednesday, August 24, 2011

Bioreaktor tingkat benih orkid 10 kali ganda


MAZIAH menunjukkan bahan formula media untuk menghasilkan anak benih orkid di UPM, Serdang semalam.


SERDANG – Industri orkid negara maju setapak lagi apabila Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan jumlah benih orkid 10 kali ganda melalui sistem bioreaktor.

Pensyarah di Jabatan Biokimia, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Prof. Dr. Maziah Mahmood berkata, formula media itu mampu menghasilkan lebih banyak benih orkid tanpa mengganggu biodiversiti orkid sedia ada.

Menurutnya, sehingga kini belum ada teknologi pembangunan orkid seperti itu di pasaran Malaysia yang cepat dan murah kerana formula yang ada hanya berkaitan pembajaan.

“Penggunaan teknik bioreaktor lebih mudah bagi orkid berkembang kerana sistem pengudaraan lebih baik dan tidak memerlukan baja dan air.

“Teknologi ini menggunakan formula khas dan kandungan udara disalur mengikut waktu. Kaedah ini sangat berbeza dengan teknik konvensional yang lebih statik,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Selain itu, jelas Maziah, teknik mempercepat pembungaan melalui semburan cecair khas ciptaan pasukannya juga lebih mesra alam dan bunga yang dihasilkan lebih tahan lama.

“Kaedah tersebut mampu mempercepat pembungaan orkid di antara dua hingga enam minggu lebih awal berbanding kaedah biasa,” ujarnya.

Tambahnya, penyelidikan yang mengambil masa selama lima tahun itu melibatkan kos RM500,000.

1 comment:

  1. salam...ada tak khusus utk tanaman orkid.dan dimanakah sya dapat cecair khas yg dimasudkan...

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: