Monday, January 4, 2010

Serina, Gavin bulan madu di Greece



MAJLIS persandingan pelakon, Serina dan Salahudin bertemakan perkahwinan dalam taman di Hotel Royale Chulan.

KATA orang hadiah yang mahal bukanlah ukuran kasih sayang namun dalam hal Chef Wan dan anak perempuannya, Serina, tidak ada yang lebih menggembirakan dirinya selain melihat anaknya meniti rona bahagia bersama suami tersayang.

Justeru, dalam diam, tukang masak terkenal itu merancang untuk menghadiahkan sebuah percutian ke pulau terkenal untuk anak dan menantu kesayangannya itu.

“Pada mulanya memang saya nak buat kejutan pada mereka tetapi malangnya perkara ini sudah pun terbongkar awal. Biasalah mulut saya, bukan boleh simpan rahsia pun. Untuk mereka nanti, saya akan hadiahkan pakej bulan madu ke sebuah pulau legenda yang menjadi kebanggaan Greece iaitu Pulau Santorini, pulau yang pernah digunakan untuk penggambaran filem muzikal, Mamma Mia!.

“Saya sudah pun ke sana sebelum ini dan melihat kepada pemandangannya yang indah terutama ketika matahari terbenam. Cukup romantik dan saya rasa adalah lebih menarik andai mereka dapat menikmati suasana bulan madu mereka di sini. Mereka akan ke sana dalam bulan Jun nanti,” ujarnya yang dikenali memang cukup sporting ini.

Dalam pada itu, sempat juga Chef Wan memberitahu yang dia begitu sibuk mengendalikan majlis perkahwinan anaknya itu sehingga terlepas pandang dari segi senarai jemputan tetamu.

“Disebabkan terlalu sibuk sehinggakan ada tetamu yang tak sempat saya nak jemput walhal kad jemputan sudah pun ditulis.Bila saya duduk dan senaraikan nama kawan-kawan saya, memang ramai.

“Jadi kepada mana-mana pihak yang tak sempat saya undang untuk majlis di Kuala lumpur, bolehlah datang untuk majlis di Felda Sungai Koyan nanti. Majlis itu nanti adalah untuk semua saudara mara, sahabat handai serta media dan akan diadakan penghujung bulan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: