Monday, January 4, 2010

Serina tidak lupa pesan bapa




Salahuddin tidak kekok dengan adat Melayu

LENYAP sudah debaran di hati. Perasaan gusar yang selama ini bersarang di jiwa terhakis sebaik saja jejaka pilihan hati usai melafazkan ijab dan kabul. Kini cabaran baru menanti kehidupan gadis berusia 26 tahun ini kerana kehidupan berumah tangga diakui, banyak duri dan ranjaunya. Pun begitu, nasihat bapa tetap menjadi pegangan dan pedoman.

“Saya sentiasa ingat pesanannya supaya sentiasa menghormati dan patuh dengan suami. Saya memang mahu menjadi seorang isteri yang taat. Harapan saya nanti, biarlah rumah tangga yang kami bina ini bertahan sehingga ke akhir hayat. Walaupun ada yang mengatakan perkahwinan campur seperti ini lazimnya berakhir dengan perceraian tetapi saya percaya dengan ketentuan Tuhan.

“Lagipun bukan semua yang berkahwin dengan orang asing itu tidak bahagia. Malah kalau kita lihat, ramai juga yang berkahwin dengan lelaki Melayu berakhir dengan perceraian,” tutur Serina yang bakal bergelar pengacara program Jalan Jalan Cari Makan ini.

Ditanya apakah perasaannya apabila terpaksa melalui enam majlis resepsi, Serina berkata dia gembira apabila majlis yang dirancang awal itu berlangsung dengan jayanya.

“Biarpun agak penat tapi saya gembira kerana semua majlis hari ini berjalan dengan lancar. Tapi tak mengapa, bagi saya perkahwinan adalah sekali dalam seumur hidup saya. Biarlah ia menjadi satu kenangan paling indah dalam hidup saya,” ujarnya yang mahukan empat orang anak.

PENGANTIN bersama sebahagian ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

Sementara itu, Salahudin Ghaffar, 33 atau nama asalnya Gavin Edward O’Luanaigh mengakui dia tidak kekok dengan adat tradisi Melayu kerana dia sudah biasa dengan suasana itu.

“Sangat menarik. Namun ini adalah situasi biasa kerana saya sudah menetap di sini selama sembilan tahun,” ujarnya yang memeluk Islam sejak tiga tahun lalu.

Lebih setahun menyulam cinta, Salahudin berkata sifat istimewa yang ada pada Serina membuatkan dia tidak mengambil masa terlalu lama untuk melamar buah hatinya itu.

“Dia bukan saja cantik tetapi juga berbudi pekerti, semangat berdikari yang tinggi, penyayang dan baik hati. Insya-Allah, saya akan menjadi suami yang baik padanya,” katanya yang sentiasa mengukir senyuman.

CHEF Wan selepas majlis pernikahan anak gadisnya.

Majlis pernikahan itu turut dirakamkan kru televisyen antarabangsa Asian Food Channel (AFC) bermula dengan majlis merisik dan bertunang pada 31 Disember lalu dan disusuli majlis berinai kecil serta majlis berinai besar. Manakala majlis bersanding yang bertemakan Perkahwinan Dalam Taman turut dirakamkan untuk program yang dijangka akan disiarkan pada Februari depan.

Chef Wan sebak dan terharu

ENTAH mengapa, saat anak gadisnya, Serina melafazkan kata persetujuan, meluahkan kerelaan hati dan bersedia menjadi seorang isteri, tiba-tiba perasaan dan jiwa selebriti chef terkenal, Chef Wan diselubungi perasaan sebak. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipinya. Barangkali amat berat bagi pemilik nama penuh Redzuawan Ismail melepaskan anak dara tunggalnya yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak 26 tahun lalu.

Namun, itulah hakikat yang terpaksa diterima lelaki ini apabila Serina kini menjadi milik Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghaffar, 33 apabila pasangan merpati dua sejoli itu dinikahkan di hadapan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) yang juga imam jurunikah masjid berkenaan, Mohd Nazarudi Mohd Nadzir, tepat jam 11.30 pagi, pada pagi Jumaat lalu yang penuh keberkatan itu.

Dengan hanya sekali lafaz dalam bahasa Inggeris daripada Salahuddin, Serina yang pernah mengalami saat getir putus cinta sebanyak dua kali sebelum ini, sah bergelar isteri kepada Pengarah Urusan Football Focus Sdn Bhd itu.

Menceritakan kembali mengapa air mata yang cukup berharga itu ditumpahkan pada majlis yang penuh bermakna itu, Chef Wan berkata perasaannya terusik apabila dia teringat kembali peristiwa lama yang pernah berlaku membabitkan mereka berdua suatu ketika dulu.

“Macam-macam perkara bermain di fikiran ketika itu. Dalam ingatan saya menjelma kembali peristiwa sewaktu saya bercerai dengan ibunya. Ketika keluar dari rumah, Serina pada masa itu yang baru berusia dua tahun mengejar saya dan menghalang saya dari meninggalkan rumah.

“Memang sedih pada masa itu. Begitu juga apabila dia sudah dewasa dan mula pandai merungut mengatakan saya tak lekat di rumah dan sibuk ke luar negara kerana bekerja.

“Itupun saya jelaskan apa yang saya lakukan itu adalah kerana tanggungjawab saya yang amat besar. Bukan saja menanggung anak-anak tetapi juga keluarga saya yang lain. Jadi saya perlu bekerja keras untuk membahagiakan mereka semua.

“Saya juga terkenang peristiwa pahit membabitkan kisah Serina yang tidak kesampaian dan lebih membuatkan sedih apabila mengenangkan yang saya terpaksa melepaskan anak saya yang saya jaga selama ini. Jadi disebabkan itulah saya rasa sebak sehingga tak sedar saya menangis pada majlis pernikahan anak saya itu,” ujar Chef Wan ketika ditemui sejurus selepas acara pernikahan yang berlangsung di Dewan Nikah, Masjid Wilayah Jalan Duta, Kuala lumpur berakhir.

Sebagai seorang yang melalui kehidupan perceraian, jelas Chef Wan pastinya dia tidak mahu perkara yang sama menimpa anak gadis tunggalnya itu. Justeru, sebagai bapa adalah menjadi tanggungjawab baginya menaburkan nasihat dalam usaha menjaga keharmonian rumah tangga anak dan menantunya.

“Tidak ada perkara yang menggembirakan saya selain melihat kebahagiaan Serina.Justeru, apa yang saya boleh katakan padanya adalah, hormatilah suami dan jangan meninggikan suara. Walau apapun, kedudukan suami tetap nombor satu. Saya bangga mempunyai menantu seperti Salahudin kerana melihat cara dia melayan keluarganya, kita boleh dapat menilai yang dia memang seorang yang penyayang,”ujar pengacara program masakan tersohor ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: