BUKIT MERTAJAM - Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri tabung derma untuk kegunaan rumah anak yatim dan pusat tahfiz yang diletakan di kaunter kedai dan pusat jualan di daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, kejadian terbaharu yang dilakukan lelaki terbabit pada Khamis lalu di pusat jualan Jeruk Madu Pak Ali di sini.
Menurutnya, identiti lelaki itu berjaya dikesan selepas pihaknya membuat penelitian pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai terbabit.
“Anggota polis telah pergi ke rumah lelaki berkenaan di kawasan Butterworth bagaimanapun suspek berusia lingkungan 40-an itu tiada dan kita percaya dia menyembunyikan diri kerana tahu sedang diburu polis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Mohd Mustafa berkata, polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mungkin terlibat dalam beberapa lagi kes curi tabung derma yang diletakkan di kedai dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Setakat ini kami menerima satu laporan polis sahaja dari pusat jualan Jeruk Madu Pak Ali itu tetapi kalau tengok pada rakaman CCTV yang viral sejak Khamis, lelaki itu mungkin terlibat beberapa kes lagi kerana dia seperti mahir mencuri tabung derma berkenaan,” katanya.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.10 pagi itu, dua pekerja yang berada di kaunter berkenaan tidak menyedari tindakan lelaki terbabit mencuri dua tabung tersebut kerana mereka sedang sibuk membuat persediaan untuk membuka kedai.
Pengurus kedai itu, Mahmood Akil Malek berkata, kejadian itu hanya disedari apabila pekerja mendapati dua tabung derma yang diletakkan di tepi kaunter hilang dan pihaknya meneliti rakaman CCTV di kedai mendapati, lelaki memakai jaket hitam dan mengenakan topi berwarna merah telah melarikannya.