BURGER Ramly merupakan produk Bumiputera yang popular di negara ini, dimiliki dan diasaskan pada 1979 oleh pasangan suami isteri, Ramly Mokni dan Shala Siah Abdul Manap.
Pada asalnya, Ramly Mokni hanyalah seorang pemotong daging di sebuah pasar raya di ibu kota awal 70-an, yang mana ketika itu kebanyakan makanan sejuk beku tidak dapat dipastikan status halalnya.
Menyedari masalah itu, Ramly mengambil peluang menghasilkan makanan sejuk beku halal bagi memenuhi permintaan umat Islam di negara ini.
Walaupun berhadapan cabaran dan diperlekehkan segelintir pihak ketika awal penglibatan, Ramli tidak pernah berputus asa dan terus bersemangat mengembangkan perniagaannya.
Berbekalkan simpanan sendiri dan pinjaman oleh Bank Pembangunan dan Malaysia Berhad, membolehkannya mengorak langkah memajukan perniagaan sehingga berada di tahap hari ini.
Bermula dengan pengeluaran secara manual dan kecil-kecilan dengan hanya mengeluarkan daging burger sebanyak 300 keping sehari, kini Burger Ramly mampu mengeluarkan 30 tan daging sehari selepas 20 tahun.
Hari ini, Ramly yang lebih dikenali Haji Ramly berjaya mengembangkan perniagaannya ke tahap komersial.
Syarikat kini berkembang sebagai sebuah syarikat besar iaitu Ramly Mokni Holding Berhad dan anak-anak syarikatnya iaitu Ramly Food Processing Sdn Bhd, Pemasaran Ramly Mokni Sdn Bhd, Ramly Supermart Sdn Bhd dan Ramly Mokni Bakeri Sdn Bhd.
Syarikat juga diberikan pengiktirafan sebanyak tiga kali oleh Bank Pembangunan atas kecemerlangan dan prestasi baik.
Pada 2008, Ramly Food Processing Sdn Bhd mengambil satu keputusan besar dengan membuat pelaburan menjangkau RM15 juta bagi membesarkan kilang di Taman Perindustrian IKS, Batu Caves, Kuala Lumpur.
Pembesaran kilang itu dilengkapi penggunaan teknologi lebih baik, dijangka meningkatkan hasil pengeluaran tiga kali ganda dengan kualiti yang sama standardnya.
Selain daging burger, jenama lain bernaung di bawah Ramly adalah burger ayam dan daging, rangkaian produk nugget, jejari, sosej dan banyak lagi.
Produk Burger Ramly masih kekal sebagai produk terlaris dengan sumbangan sebanyak 50 peratus kepada perniagaannya.
Syarikat itu juga telah menubuhkan makmal Mikrobiologi Ramly bagi memastikan kualiti produk sentiasa di tahap terbaik dalam usaha memenuhi cita rasa pelanggan, sekali gus berfungsi sebagai satu tempat penyelidikan dan pembangunan produk Ramly.