Thursday, July 21, 2016

Faizal Tahir & Siti Nurhaliza Duet Lagu 'Dirgahayu'



Faizal Tahir bakal melancarkan single terbaharu bersama penyanyi terkenal Datuk Siti Nurhaliza berjudul Dirgahayu. 
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer Faizal Tahir bakal melancarlan single duet bersama Datuk Siti Nurhaliza menerusi lagu berjudul Dirgahayu.
Faizal berkata, lagu yang diciptanya bersama Mike Chan dan Ezra Kong itu adalah kejutan dan hadiah buat peminat yang ingin melihat mereka bergabung dalam sebuah lagu.

"Sebenarnya saya sendiri teruja dengan kolaborasi ini kerana sudah lama memasang niat untuk bekerjasama dengan Siti Nurhaliza malah peminat pun ramai bertanya, Alhamdulillah hasrat itu akhirnya tercapai.

"Insya-Allah jika ikut perancangan lagu Dirgahayu itu akan dilancarkan pada Ogos depan dan ini adalah kejutan buat peminat kami berdua," katanya.

Faizal ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Red Box dan Green Box di The Gardens di sini, Rabu.
Faizal menerima cek sumbangan berjumlah RM20,000 untuk dimasukkan kepada tabung dana iAMFAITHMEN.
Pada majlis sama pihak Red Box turut menyerahkan cek bernilai RM20,000 hasil daripada kempen Help For Kids anjuran Red Box dan Green Box kepada iAMFAITHMEN yang memperlihatkan Faizal sebagai penaung untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Seramai 40 kanak-kanak dari Rumah Yayasan Chow Kit turut diraikan pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, Faizal berkata, idea duet berkenaan pada asalnya datang daripada syarikat produksi drama, Global Station Sdn Bhd yang memintanya menghasilkan sebuah lagu tema untuk drama bersiri terbitan syarikat itu.

Dari situ kata Faizal, dia mula bekerja untuk menghasilkan lagu berkenaan pada Ramadan lalu sebelum Siti merakamkan vokalnya minggu lepas.

"Alhamdulillah bekerja dengan Siti sangat mudah dan rakaman telah pun selesai minggu lalu.

"Insya-Allah turut dijadikan lagu tema sebuah drama untuk siaran Astro yang tajuknya mungkin akan diberitahu oleh pihak Global Station nanti," katanya.
Faizal turut menjemput anak-anak daripada Rumah Yayasan Chow Kit untuk bernyanyi bersamanya di pentas.
Selain Dirgahayu, Faizal berkata, dia juga bakal tampil menerusi lagu Negaraku kolaborasi bersama artis rap terkenal, Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet.

"Selepas Dirgahayu dan Negaraku, Insya-Allah saya akan tampil dengan projek khas bersama kumpulan yang dianggotai oleh saya, Aizat Amdan, Noh Salleh dan Muadz Zulkifli menerusi lagu khas untuk Syria iaitu All Our Love," ujarnya.

Ditanya mengenai album terbaharunya, Faizal berkata, ia telah pun siap dan akan dilancarkan pada September depan.

Beritahu Faizal, album yang masih mengekalkan genre rock itu memuatkan 10 buah lagu termasuk empat versi berbeza lagu hitnya, Assalamualaikum.

"Album berkenaan berjudul Anatomi Faizal Tahir dan ia telah pun siap sepenuhnya dan hanya tunggu masa untuk dilancarkan," jelasnya.
Anak-anak daripada Rumah Yayasan Chow Kit gembira apabila turut menerima duit raya.
Bercakap mengenai sumbangan diterima daripada Red Box, Faizal berkata, dia akan menggunakan wang berkenaan untuk disalurkan kepada golongan memerlukan seperti anak-anak yatim dan orang tua.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihak iAMFAITHMEN masih meneliti pihak yang bakal menerima dana tersebut.

"Saya terharu sebenarnya sebab Red Box adalah syarikat pertama yang datang kepada kami untuk menjalinkan kerjasama murni ini.

"Alhamdulillah sumbangan yang diterima ini akan kami salurkan sebaik-baiknya kepada pihak memerlukan agar dapat meringkan beban mereka," katanya.

Kata Faizal lagi, dia berharap pada masa hadapan akan ada lebih banyak kerjasama di antara iAMFAITHMEN dan Red Box dalam usaha membantu golongan tidak bernasib baik.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: