TANJONG KARANG - Faktor cuaca panas menjadi punca haiwan liar seperti ular menjadikan rumah penduduk sebagai habitat sementara tanpa disedari sehingga mengundang bahaya.
Ketua Balai Bomba Tanjong Karang, Azmi Abbas menjelaskan, cuaca yang panas ditambah isu hutan belukar musnah akibat kebakaran mendorong reptilia berbahaya ini mencari tempat perlindungan.
Menurutnya, pihak bomba mencatat 56 kes tangkapan ular berbanding 95 kes khas lain berdasarkan statistik yang direkodkan bermula Januari lalu sehingga Jun tahun ini.
“Statistik juga jelas menunjukkan kadar tangkapan mencecah lebih 10 kes sebulan terutamanya pada musim panas dan kering selain peningkatan kadar kebakaran hutan.
“Selain itu, terdapat 57 kes kebakaran yang melibatkan hutan dan belukar yang berhampiran dengan penempatan penduduk…kita percaya faktor begini mendorong ular mencari tempat sejuk sebagai habitat,” katanya.
Azmi berkata, lokasi yang menjadi tumpuan replitia ini adalah di bahagian dapur, bilik air atau di bawah almari yang terpencil sehinggakan penghuni rumah tidak menyedari kehadiran ular itu.
“Sehinggalah ada haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing yang berjaya menghidu kehadiran ular itu sekali gus membolehkan penghuni melaporkan kepada pihak berwajib.
“Antara jenis ular yang sering ditangkap adalah ular sawa hitam, tedung selar, ular susuk kerbau dan ular sawa manakala kebanyakan saiz mereka antara satu meter sehingga 4.5 meter.
“Setiap anggota bomba yang membuat tangkapan ular ini akan mengasingkan haiwan itu dan akan dihantar ke Jabatan Perhilitan terdekat ataupun melepaskannya ke kawasan hutan berhampiran yang jauh dari kawasan penduduk.
“Pihak bomba akan menggunakan peralatan khas seperti alat penjerut, penyepit dan sarung tangan tebal semasa menghadapi situasi ini, malah setiap anggota juga dilatih khas untuk menangani kehadiran haiwan berbisa,” katanya.
Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima makluman mengenai kemalangan atau kecederaan serius mengenai kes patuk ular dan turut menasihatkan penduduk supaya tidak bertindak melulu.
“Saya ingin menasihatkan penduduk supaya terus melaporkan kepada pihak bomba sekiranya ada kes haiwan berbisa di rumah mereka dengan kadar segera tanpa bertindak sendiri.
“Saya bimbang tindakan melulu ini akan mengundang bahaya kepada mereka dan ahli keluarga lain,” katanya yang turut meminta penduduk sentiasa memastikan pintu masuk ditutup rapi dan meletakkan belerang atau serbuk garam untuk alternatif," katanya.