MENGAMBIL keputusan berhenti makan gaji dan menceburi bidang perniagaan bukanlah mudah kerana pelbagai risiko bakal dihadapi.
Namun, kerana memikirkan gaji diperoleh tidak cukup bagi menjelaskan hutang, Muhamad Amle Rusbadrul, 32, nekad memulakan perniagaan lima tahun lalu.
Kini, pemilik Amlee Holdings Sdn Bhd ini mampu tersenyum apabila perniagaannya berkembang seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta berjaya menembusi pasaran Brunei selepas lima tahun memulakan perniagaan Amlee Ayam Gunting.
Menurut anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini, sokongan kuat keluarga terutama isteri menjadikan perih jerih yang dilaluinya berbaloi.
Menceritakan pengalaman bergelar usahawan selama lima tahun, Muhamad Amle berkata, di awal perniagaannya, dia hanya mempunyai modal RM300.
“Sebelum berhenti kerja, saya meninjau mencari jenis perniagaan yang ingin diceburi dan kemudian saya melihat perniagaan ayam gunting mempunyai masa depan cerah.
“Ketika itu perniagaan ayam gunting popular di Kuala Lumpur dan mendapat sambutan hangat, tetapi di bahagian utara belum ada yang menjalankan perniagaan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bahagia, Teluk Intan.
Muhamad Amle berkata, selepas mendapat kata putus untuk memulakan perniagaan ayam gunting, dia dan isteri memulakan perniagaan mereka di Pasar Tani Kampung Gajah, Perak.
“Kami juga mengambil keputusan berniaga di pasar tani dan pasar malam sekitar Teluk Intan dan Kampung Gajah bagi memperkenalkan Amlee Ayam Gunting kepada pengguna sekitar.
“Pada masa sama kami juga menggunakan Facebook untuk mempromosikannya,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh tiga bulan berniaga, Amlee Ayam Gunting menerima sambutan luar biasa sehingga mendorongnya membuka lagi satu cawangan di Langkap.
Atasi pelbagai cabaran
Ditanya mengenai halangan yang dihadapi sepanjang bergelar usahawan, Muhamad Amle berkata, dia dan isteri terpaksa berulang-alik dari Teluk Intan ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan bekalan ayam mentah.
“Habis berniaga sebelah pagi kami ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bekalan ayam mentah dan pulang selepas itu.
“Kami terpaksa berulang-alik selama dua bulan pertama berniaga sebelum bekalan dihantar kerana sambutan menggalakkan daripada pelanggan,” katanya.
Menurutnya, dia juga pernah menanggung kerugian apabila makanan dijual tidak habis pada awalnya.
“Mula-mula rasa kecewa, tetapi bila kuatkan semangat kami teruskan juga kerana percaya perniagaan ini akan berjaya satu hari nanti.
“Alhamdulillah berkat disiplin, usaha dan kegigihan, kami berjaya meneruskan perniagaan dan menjadi semakin matang walaupun halangan sentiasa hadir,” katanya.
Muhamad Amle berkata, sokongan kuat ahli keluarga turut menjadi pendorong kepadanya untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan.
Lebih membanggakan, apabila dia berjaya melangsaikan hutang sebanyak RM200,000 dalam tempoh setahun bergelar usahawan.
“Alhamdulillah, saya rasa itu adalah kenangan paling berharga dalam hidup kami kerana dapat membuktikan jika berusaha dalam perniagaan kita berjaya mencapai kejayaan.
“Selepas itu kami terus mendaki sedikit demi sedikit sehingga berjaya mempunyai 88 ejen Amlee Ayam Gunting seluruh negara dan sebuah kilang di Sarawak bagi meluaskan pasaran Borneo,” katanya.
Setiap usahawan yang berjaya pasti mempunyai rahsia mereka tersendiri, begitu juga Muhamad Amle, walaupun masih baru dalam dunia keusahawanan kejayaannya perlu dijadikan contoh.
“Tahun pertama kami berniaga secara ‘main redah’ tanpa ada apa-apa ilmu perniagaan dan masa itu ada rasa tidak puas dengan apa yang diperoleh.
“Tahun kedua baru kami buat keputusan untuk mempelajari ilmu keusahawanan dan mengikuti seminar bagi mengetahui selok-belok perniagaan,” katanya.
Kongsi ilmu perniagaan
Bapa kepada empat cahaya mata ini juga tidak lokek untuk berkongsi nasihat kepada usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan terutama sekali golongan muda.
Katanya, apabila membuat keputusan untuk berniaga setiap individu perlu mempunyai disiplin yang ketat serta semangat juang yang tinggi.
“Jangan berhenti separuh jalan jika anda gagal kerana itu adalah guru paling berkesan untuk mematangkan kita dan lebih berusaha.
“Ilmu perniagaan juga diperlukan, jangan bertangguh untuk mengikuti seminar atau mempelajari selok-belok perniagaan supaya kita tidak kosong,” katanya.
Muhamad Amle turut menekankan jangan menggunakan wang keuntungan untuk perbelanjaan peribadi serta menyediakan gaji untuk diri sendiri.
“Buat gaji untuk diri sendiri, jangan mengambil wang perniagaan apabila anda ingin gunakan untuk perbelanjaan jika tidak perniagaan akan bungkus.
“Elakkan sikap untung sehari, cuti tiga hari kerana itu perkara paling banyak saya temui dalam kalangan usahawan kita hari ini,” katanya.