SEBAIK membuka laman sosial pasti ‘wall’ dihujani dengan iklan-iklan berkaitan makanan kudap-kudapan yang popular masa kini iaitu Wonder Cheese.
Dengan tagline ‘Jangan biarkan balang ini berada di tangan orang lain’ menjadikan ia satu kegilaan dan fenomena penggemar makanan di negara ini.
Dilihat daripada segi persembahan makanan, ia seperti kudap-kudapan biasa yang berada di pasaran.
Namun, siapa sangka rasa yang disaluti keju itu menjadikan ia terus digilai ramai menyebabkan ramai ketagih dan pasti akan membeli lagi.
Wonder Cheese adalah kerepek yang bersalut keju serta mempunyai rasa pedas, manis keju dan rangup.
Keju banyak jadi tarikan
Rata-rata pelanggan Wonder Cheese meminati kerepak itu kerana kejunya yang banyak dan rasa pedasnya.
Asliza Mat Asli, 25, berkata, dia sangat sukakan perisa keju yang banyak dan cili yang membangkitkan selera makan.
“Wonder Cheese tidak sama seperti kerepek lain yang berada di pasaran kerana ia tidak ada perisa tambahan Ajinamoto dan bahan pewarna,” katanya yang hanya bermula dengan tempahan suka-suka selepas melihat komen-komen rakan di laman sosial pada Mac lalu.
Kini, satu keluarga menyukai Wonder Cheese dan menjadi pelanggan tetap.
Menurutnya, setiap minggu dia akan menempah sehingga 10 atau 20 balang yang akan diedarkan kepada keluarga dan rakan-rakan pejabatnya.
Bagi Nazurah Arfazillah, 28, sejak merasai kesedapan Wonder Cheese, dia akan membuat tempahan setiap bulan dan menjadi makanan kudapan wajib seisi keluarga.
“Mula-mula saya tempah sebalang untuk mencuba tetapi habis tidak sampai dua hari.
“Ia juga boleh dijadikan hidangan ketika raya tahun ini,” katanya.
Menurutnya, dia juga membuat tempahan bagi pihak rakan-rakan pejabat.
Katanya, sebulan dia membuat tempahan lebih 100 balang.
Manakala, bagi Mohd Faez Mohd Amin, 27, yang bermula sebagai penggemar kini telah menjadi ejen.
“Mula-mula saya tengok Wonder Cheese ini hanya seperti kerepek ubi pedas biasa.
“Tetapi sekali cuba rasanya memang sedap dan pasti nak lagi, sebalang memang tidak cukup," katanya.
Menurutnya, dia mengetahui tentang Wonder Cheese menerusi sepupunya semasa majlis pertunangan.
Katanya, selepas melihat potensi produk itu yang boleh menjana pendapatan dia terus menjadi ejen.
Tidak menang tangan
Bermula dengan hanya sebagai kudapan seisi keluarga, siapa sangka ia mampu menjadi satu perniagaan yang menjana pendapatan.
Pengasas Wonder Cheese, Mohamad Kamal Rosman Wahid berkata, dia memulakan jualan Wonder Cheese pada Januari tahun lalu kepada saudara-mara dan rakan-rakan serta hanya mula aktif pada Mei tahun lalu.
“Apabila melihat sambutan menggalakkan, saya terus cuba menjual produk ini secara besar-besaran di Kuala Lumpur diikuti selatan dan utara,” katanya.
Menurutnya, ketika mula berniaga, dia hanya mampu menjual empat hingga 20 balang sebulan.
Kini, syarikatnya mampu menjual sehingga 5,000 balang seminggu dengan bantuan kira-kira 200 ejen yang aktif di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, Wonder Cheese juga telah berada di pasaran luar negara seperti Singapura dan Brunei menerusi ejen.
Mohamad Kamal berkata, pihaknya menyasarkan untuk memasuki pasar raya dan kedai-kedai terkemuka negara pada masa akan datang.
“Buat masa ini, kilang kami hanya mampu menghasilkan purata 1,000 sehari dengan mesin manual dan bercadang untuk membeli mesin bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
“Ini kerana kami tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, sebab itu kadang-kadang stok banyak habis,” katanya.
Wonder Cheese adalah kudapan yang disaluti keju tanpa perisa tambahan dan pewarna dengan harga sebalang RM25 (600ml)
.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: