KUALA TERENGGANU – Tembakan bedil sebanyak sekali ketika masuk waktu berbuka puasa dan dua kali ketika waktu imsak adalah isyarat yang sinonim di dengari oleh penduduk di sekitar daerah Kuala Terengganu dan sebahagian daerah lain sepanjang Ramadan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh berkata, selain dua waktu penting sepanjang Ramadan itu, tembakan bedil yang boleh didengari oleh penduduk pada jarak 10 hingga 15 kilometer (km) itu juga di bunyikan sebanyak tujuh kali sebaik selepas pengumuman hari berpuasa dan sebanyak enam kali selepas solat Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, bedil juga digunakan bermula pada hari raya pertama hingga puasa enam dengan bunyi tembakan seperti biasa sekali pada waktu berbuka puasa dan dua kali pada waktu imsak.
“Tembakan bedil dari Bukit Pak Apil yang menghasilkan bunga api setinggi 200 hingga 220 meter di udara itu adalah tradisi yang diteruskan sejak 14 tahun lalu selepas penggunaan genta atau loceng besar di Bukit puteri ketika zaman Sultan Zainal Abidin III.
“Penggunaan genta atau loceng besar seberat 175 kilogram (kg) yang diperbuat daripada tembaga kuning bermula pada 1881 hingga 1918, selepas itu kita gunakan tembakan meriam sehinggalah kita menukar kepada teknologi tembakan bedil atau bunga api selaras dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Beliau berkata, kini teknologi tembakan bedil masih lagi kekal digunakan sehingga hari ini kerana ia dilihat mudah dan lebih selamat malah bunyi yang dihasilkan dapat didengari oleh sebahagian besar penduduk di daerah Kuala Terengganu termasuk di Kuala Ibai dan Gong Badak.
Bagaimanapun, katanya, bunyi tembakan itu juga bergantung kepada kadar tiupan angin yang mana akan mempengaruhi jarak bunyi tembakan itu selepas dilepaskan.
“Buat masa ini kita memang masih mengekalkan penggunaan bedil terutama ketika Ramadan dan ia adalah kelainan yang dirasai oleh penduduk di Terengganu malah juga dilihat sebagai sesuatu yang sinonim di negeri ini sepanjang Ramadan.
“Ia juga dapat menarik minat pengunjung dari luar setiap kali berkunjung ke sini malah percikan bunga api yang terhasil adalah merupakan pemandangan yang indah yang boleh di dapati di negeri ini sepanjang Ramadan,” katanya.
Usaha kekalkan tradisi
Menurutnya, usaha mengekalkan tradisi itu diuruskan sepenuhnya oleh SUK dengan kerjasama Bahagian Persenjataan dan Bahan Letupan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu.
Sementara itu, Pegawai Turus Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, Asisten Superintenden Che Engku Zainuddin Che Engku Chik berkata, pihak polis telah dipertanggungjawab untuk menyelia tembakan bedil itu.
“Tembakan ini menggunakan bola bunga api bersaiz 8 inci untuk menghasilkan bunyi yang padat dan kuat. Selain itu, terdapat juga lapan paip besi yang bersaiz besar dipacakkan untuk digunakan bagi melancarkan bunga api ke udara.
“Pelancar akan digunakan untuk menembak bunga api dan pelancar ini dikawal dengan alat kawalan yang diletak pada jarak 30 meter dari jarak pelancar tadi. Apabila suis ditekan, satu bunyi kecil kedengaran dan dalam masa yang sama bunga api akan terhasil di udara berserta bunyi yang kuat,” katanya.
Beliau berkata, dua anggota PDRM akan ditugaskan menjaga keselamatan juga akan membantu dua orang wakil yang khas ditugaskan untuk memasang bedil itu pada setiap hari sepanjang Ramadan dan ketika Aidilfitri.
“Kita mengambil masa selama 10 minit untuk menyediakan peralatan dan dalam masa yang sama, kita akan semak status bola bagi bunga api yang digunakan sama ada ia selamat atau tidak bagi mengelak perkara yang tidak diingini.
“Kita juga akan memantau keselamatan kawasan itu kerana bahan yang digunakan untuk menghasilkan bunyi dan bunga api itu agak besar dan berbahaya, selain mengharapkan hasil yang terbaik pada setiap kali pemasangan bahan itu,” katanya.