PENGKALAN HULU - Mereka berlainan bangsa, bukan seagama, namun keakraban L Dayanethi, 27,  dan Mohd Saiful Amir Saidin, 30, bagaikan adik dengan abang.
Semuanya bermula apabila Dayanethi datang ke kedai  aksesori milik Mohd Saiful Amir untuk membaiki pendingin hawa kenderaannya lima tahun lalu.
Namun hari ini, Dayanethi berjaya membuka kedai menjual tayar kereta yang jaraknya hanya kira-kira 500 meter dari kedai rakan baiknya itu.
Mengimbau semula perkenalan mereka, Dayanethi berkata, dia  mula datang ke kedai rakannya itu memandangkan tiada lagi kedai lain yang menyediakan perkhidmatan membaiki pendingin hawa ketika itu.
Menurutnya, sejak itu, dia mula menjadi pelanggan tetap Mohd Saiful Amir bagi apa jua urusan melibatkan aksesori kereta.
“Waktu itu saya masih kerja di kedai tayar milik orang lain, jika kereta saya ada masalah aksesori saya akan datang kedai dia,” katanya.
Katanya lagi, perkenalan mereka itu semakin lama bertambah erat sehinggalah rakan baiknya itu membantunya membuka kedai tayar kenderaan.
“Dengan sokongan dan bantuan Amir, saya berjaya juga buka kedai tayar dua bulan lalu, saya sudah anggap dia macam abang sendiri.
“Sebelum buka kedai sendiri, saya maklumkan terlebih dulu kepadanya, dia memang banyak beri bantuan dan sokongan,” katanya.
Dayanethi berkata, bagi memajukan perniagaan masing-masing, mereka berdua sentiasa bekerjasama dan berkongsi pandangan.
“Kami selalu jumpa, jika waktu rehat atau tamat kerja saya akan pergi ke kedai dia, kadang-kadang dia yang datang ke kedai saya,” katanya.
Malah katanya, jika ada pelanggan datang ke kedainya, dia akan tolong promosi kedai rakan baiknya itu, begitu juga sebaliknya.
“Jika ada pelanggan yang datang ke kedai saya mencari barangan aksesori kereta saya akan syorkan kedai Amir manakala jika ada pelanggan mahu menukar tayar atau yang berkaitan dia juga tolong promosi kedai saya,” katanya.
Dalam pada itu, Dayanethi menasihati masyarakat negara ini agar saling menghormati antara satu sama lain.
“Janganlah ada mana-mana pihak gunakan sentimen bangsa untuk membenci, kita perlulah saling hormat menghormati.
“Perpaduan yang kita kecapi hari ini juga adalah hasil sikap hormat menghormati generasi sebelum ini, jadi kita perlu kekalkannya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Saiful Amir berkata, Dayanethi adalah rakan berlainan bangsa yang paling rapat dengannya.
“Saya kenal dengan ramai orang Cina dan India, tapi dengan dialah yang paling saya rapat. Mudah berurusan dengan dia, saya pun anggap dia macam orang Melayu sendiri, dia pun mudah bantu saya jika ada sebarang masalah melibatkan kenderaan.
“Pernah ada orang hantar kereta rosak, saya pula waktu itu tidak cukup pekerja, jadi Dayanethi hantar anak buah dia untuk membantu,” katanya.
Tambahnya, mereka juga tidak kisah bertukar-tukar ilmu mengenai perniagaan masing-masing.
Biarpun berbeza agama dan bangsa katanya, rakannya itu  juga tidak pernah sekalipun bersikap tidak jujur sepanjang perkenalan.
“Dia seorang rakan yang baik, sepanjang perkenalan kami tidak pernah lagi membuat sesuatu yang menyebabkan hubungan persahabatan kami terputus,” katanya.