KEMERIAHAN Syawal kurang lengkap jika tidak diserikan dengan pakaian baharu untuk digayakan bersama keluarga, sambil menziarahi saudara-mara.
Disebabkan itu, menjelang musim perayaan, orang ramai pasti akan mencari baju raya bagi menyerikan sambutan Aidilfitri.
Ketika ini, banyak kedai, pasar raya, gedung pakaian, mahupun pusat membeli-belah menampilkan pelbagai jenis pilihan baju raya yang mempunyai corak dan warna berbeza.
Pada masa inilah, khidmat tukang jahit diperlukan bagi merealisasikan baju raya impian ramai, tidak kiralah sama ada daripada orang perseorangan atau peniaga yang memborong pakaian raya dengan tujuan untuk menjualnya.
Rezeki tukang jahit tidak putus-putus menerima tempahan daripada pelanggan, sehingga mereka terpaksa bersengkang mata menyiapkan tempahan pelanggan, sama ada ditempah secara pukal, mahupun dalam kuantiti sedikit.
Tempahan meningkat 60 peratus
Bagi pemilik Ellen Kedai Jahit, Lisa Ali berkata, setiap kali musim perayaan, tempahan jahitan pakaian yang diterimanya meningkat sehingga 60 peratus, berbanding hari biasa.
Disebabkan itu, Lisa yang kebiasaannya menjahit sendiri, akan mengupah sekurang-kurangnya dua pekerja untuk membantunya menyiapkan pakaian raya pelanggan.
“Saya sendiri akan memotong kain dan menjahitnya, manakala tugas menjahit butang dan menyeterika pakaian, diserahkan kepada pekerja.
“Saya terpaksa hadkan tempahan pelanggan kerana terlalu banyak tempahan diterima. Saya juga tidak menerima tempahan pelanggan pada saat-saat akhir kerana khuatir ia tidak dapat disiapkan sebelum raya,” katanya.
Lisa berkata, Ellen Kedai Jahit yang beroperasi di Sandakan, Sabah sejak 2001 itu menerima tempahan pelbagai jenis pakaian kanak-kanak, wanita dan lelaki, dengan upah jahit antara RM10 hingga RM60.
“Lazimnya, tempahan pakaian yang diterima secara puratanya adalah 30 pasang sebulan pada hari biasa, namun ia meningkat kepada 80 hingga 90 helai pada musim perayaan. Jika tempahan tidak dihadkan, ia boleh mencecah 100 ke 200 pasang pakaian,” katanya.
Walaupun pakaian siap banyak dijual di pasaran, Lisa berkata, permintaan terhadap perkhidmatan menjahit masih lagi tinggi terutama di kawasan luar bandar.
“Rata-rata masyarakat masih lagi mencari khidmat tukang jahit untuk menyiapkan pakaian mereka kerana faktor keselesaan si pemakai,” katanya yang mampu menjahit lima hingga 10 helai pakaian sehari.
Selain menjahit pakaian lelaki dan wanita, Lisa turut menerima tempahan pakaian sekolah dan seragam, serta langsir dan mengubahsuai pakaian.
Musim perayaan jadi lubuk rezeki
Musim perayaan merupakan lubuk rezeki buat tukang jahit kerana tempahan jahitan yang diterima menjanjikan keuntungan berlipat kali ganda, berbanding hari biasa.
Pengurus Azlinah Enterprise, Azlinah Zakariah berkata, setiap kali tiba musim perayaan, dia akan menjahit lebih 500 pasang pakaian wanita dan menutup tempahan raya, dua bulan sebelum sambutan Aidilfitri.
“Namun, saya hanya ambil tempahan jahitan pakaian wanita yang biasa seperti baju kurung dan kebaya moden. Saya tidak mengambil tempahan pakaian berfesyen pada musim perayaan kerana ia mengambil masa untuk disiapkan.
“Dalam sehari, saya mampu menjahit tujuh hingga lapan pasang baju kurung. Saya hanya tidur dua jam sehari untuk menyiapkan tempahan pelanggan tepat pada masanya. Musim raya adalah masa untuk menjana pendapatan setahun kerana tempahan yang banyak diterima,” katanya yang mengambil upah jahitan bermula RM80, bergantung kepada jenis kain.
Menurutnya, orang ramai masih lagi mencari tukang jahit untuk menyiapkan pakaian raya yang memenuhi cita rasa mereka, berbanding pakaian pasang siap.
“Menjelang hari raya, saya banyak terima pakaian siap daripada pelanggan yang mahu mengubahsuainya. Ada yang minta kecilkan baju dan ada juga minta potong kain dan panjang.
“Jika ia melibatkan pengubahsuaian yang minor, saya masih lagi terima, tetapi kalau banyak sangat ubahsuai pakaian yang perlu dilakukan atau rumit, saya terpaksa tolak,” katanya.
Selain menyediakan khidmat jahitan pakaian wanita, Azlinah Enterprise juga menawarkan pakaian pasang siap wanita.
Permintaan jahit tepi meningkat
Bukan hanya baju raya, tempahan jahit tepi untuk selendang dan pakaian turut meningkat sempena musim perayaan.
Pemilik SAMS Jahit, Nurhasanah Ismail berkata, sempena Aidilfitri ini, tempahan jahit tepi halus secara pukal untuk selendang meningkat lebih 50 peratus berbanding hari biasa.
“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada usahawan baharu atau mereka yang menjalankan perniagaan berskala kecil. Paling minimum, mereka akan tempah 30 helai selendang untuk jahit tepi halus.
“Saya juga menerima tempahan jahit tepi untuk baju, tetapi tidak sebanyak seperti jahit tepi selendang kerana kebanyakan pelanggan terdiri daripada orang perseorangan yang menjahit pakaian sendiri. Tukang jahit biasanya mempunyai mesin jahit tepi sendiri,” katanya.
Nurhasanah turut menyediakan khidmat pengambilan dan penghantaran tempahan pelanggan di sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor, dengan caj RM10.
“Untuk upah jahit tepi, buat masa ini, SAMS Jahit mengenakan harga promosi, RM3.50 sehelai, termasuk percuma jahit label.
“Promosi ini dibuat sempena pengenalan perkhidmatan jahit tepi kami yang baru sahaja diperkenalkan ada Julai tahun lalu,” katanya.
Tambah duit poket raya
Bagi eksekutif akaun, Nur Hafizah Mohd Noor, musim perayaan menjadi pintu rezeki buatnya yang mengambil upah menjahit dan mengubahsuai pakaian secara sambilan, untuk menambah duit poket raya.
Pada musim perayaan ini, Nur Hafizah menerima sebanyak 50 helai tempahan baju raya daripada pelanggan, yang kebanyakannya merupakan rakan sekerjanya.
"Selepas pulang dari tempat kerja, saya akan menjahit pakaian sehingga jam 2.30 pagi. Saya jahit sendiri semua pakaian pelanggan, bermula dari potong kain, sehinggalah menjahit butang.
"Dalam sehari, saya mampu menyiapkan satu hingga dua helai pakaian yang mudah seperti baju kurung. Biasanya, saya akan siapkan dahulu tempahan pelanggan yang mahu ubahsuai pakaian, sebelum menjahit tempahan baju raya pelanggan," katanya yang menjadikan jahitan sebagai pendapatan sampingannya, sejak awal tahun lalu.
Nur Hafizah masih lagi membuka tempahan baju raya yang mempunyai reka bentuk ringkas seperti baju kurung, kurung moden dan blaus.
"Selain itu, saya juga masih lagi terima tempahan jika pelanggan menghantar kain kapas. Tempahan baju berfesyen pula sudah ditutup sebelum puasa lagi," katanya.