ORANG selalu cakap kedai makan di Kuantan mahal, tapi untuk menepis dakwaan itu, restoran saya ada menjual teh O ais berharga 80 sen dalam gelas besar dan nasi ekonomi RM3.50 berlauk ayam,” kata Shahaitul Norma Mohamed Sulong, pemilik Restoran Two Three.
Walaupun baru beroperasi dua bulan lalu di Jalan Haji Abdul Aziz, Kuantan, beliau percaya harga yang ditawarkan mampu dibeli oleh golongan kurang berkemampuan.
“Pada mulanya harga itu ditawarkan untuk promosi kedai tetapi disebabkan permintaan yang banyak, saya jadikan ia sebagai satu menu khas untuk pelanggan.
“Memahami kos sara hidup yang tinggi sekarang, ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial restoran kami untuk pelanggan,” katanya.
Nasi ekonomi adalah gabungan ayam cincang, kuah kari, sambal belacan dan timun...cukup untuk keperluan makan tengah hari untuk seorang bersama teh O ais 80 sen.
“Dengan harga RM4.30 dan di bawah RM5, set nasi ekonomi dan teh O ais ini dapat bantu menjimatkan kos makan terutamanya pelajar IPT, warga emas, orang bujang dan juga golongan kurang pendapatan.
“Walaupun untung tak banyak mana, sekurang-kurangnya saya tidak rugi. Bagi saya, rezeki dalam bentuk lain pula saya dapat seperti kesihatan yang baik dan hati tenang,” katanya.
Shahaitul juga tidak pernah menyesal berhenti kerja sebagai pegawai di sebuah jabatan kerajaan, malah akui rasa lebih bebas menjalankan perniagaan sendiri.
Baginya, kepuasan membuka restoran begitu berlainan sekali perasaannya. Jika sebelum ini dia perlu mengambil hati ketua untuk dinilai prestasi kerja, namun sebagai pengusaha restoran dia perlu mengambil hati pelanggan dan kepuasan itulah yang didambakannya sebelum ini.
"Kini saya menjadi apa yang saya sendiri inginkan. Ada pelanggan yang takut nak masuk restoran ini kerana nampak mewah tapi konsep ‘simple’ dan moden ini sesuai dengan kedudukan di tengah bandar Kuantan.
“Sesiapa saja boleh datang makan di sini dari orang bawahan hinggalah orang atasan kerana kami menjanjikan kepuasan untuk semua pelanggan,” katanya.
Terletak berhampiran Bank Simpanan Nasional (BSN), pejabat pos dan juga Masjid Negeri, menjadikan Restoran Two Three ini tumpuan orang ramai yang berurusan di kawasan sekitarnya.