MESKIPUN berdepan dengan pelbagai cabaran, Nik Michael Imran Nik Ezar mengakui gembira dengan pencapaiannya sebagainya chef selebriti.
Mesra disapa sebagai Nik, sehingga ke hari ini sudah banyak program masakan diterajuinya seperti Hello Bro, Tolong Masak, Tea Twist, Dapur Panas, Remaja X-tream, Kan Chong Kitchen, Bikin Panas, Makmal Masak dan Aussie Mari.
Bersyukur dengan momentum kerjayanya itu, Nik bagaimanapun mengakui masih belum puas!
"Jujurnya, hala tuju saya sudah tepat cuma perlu melipatgandakan usaha sahaja lagi.
"Biasalah, sebagai manusia, pastinya tidak pernah puas dengan apa yang ada," katanya kepada Zass ketika ditemui di sidang akhbar program Ramadan Radio Televisyen Malaysia (RTM), baru-baru ini.
Pernah memiliki sebuah restoran mewah, PickNik, anak muda berusia 27 tahun ini bagaimanapun terpaksa menutupnya berikutan kedatangan pengunjung yang tidak memberangsangkan.
"Saya baharu sahaja tutup restoran itu pada Februari lalu, selepas tiga tahun beroperasi. Boleh dikatakan hampir 80 peratus pelanggan yang datang adalah pengunjung tetap. Kebiasaannya, mereka hanya datang sekali dalam seminggu.
"Jadi, daripada saya terpaksa membayar kos yang tinggi, lebih baik saya menutupnya.
"Kini, saya hanya berfokus kepada perusahaan katering yang juga di bawah nama PickNik. Lagipun, katering ialah perniagaan utama saya." katanya.
Pun begitu, Nik yang mula belajar memasak sejak berusia sembilan tahun lagi, tetap berhasrat untuk membuka restoran baharu, pada pertengahan Ramadan ini.
"Konsep menunya masih sama seperti Picknik, cuma harganya lebih berpatutan.
"Lagipun, saya masih lagi mengekalkan kumpulan yang terlibat dalam penyediaan makanan di restoran baharu itu nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nik bakal muncul dalam program Kuih Raya Nik Michael yang akan bersiaran di saluran Tvi, RTM mulai 24 Jun ini.
"Dalam program ini, saya mempelajari cara-cara membuat kuih raya tradisional seperti lidah kucing dan bahulu bakar selain beberapa kuih moden.
"Saya suka akan konsep ceritanya kerana saya memang sudah lama mengimpikan untuk mempelajari cara-cara pembuatan kuih Melayu tradisional.
"Bahkan, saya juga akan menjelajah ke beberapa perkampungan di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka bagi mencari mereka yang pakar," katanya.