BATU PAHAT - “Mana khemah kami"? Itu rungutan sebahagian peniaga di Bazar Ramadan Pesta Batu Pahat, di sini, apabila pihak kontraktor yang dilantik oleh Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) gagal menyediakan khemah untuk peniaga terbabit.
Peniaga, Faizal Ahmad, 31, berkata, sepanjang empat tahun berniaga di tapak berkenaan, inilah kali pertama khemah tidak dipasang pada hari pertama bazar itu beroperasi.
Katanya, seperti tahun sebelumnya, khemah telah dipasang tiga hari sebelum 1 Ramadan dan peniaga boleh memeriksa khemah serta tapak tempat mereka berniaga.
"Sabtu lalu saya datang ke tapak bazar ini untuk periksa khemah tapi ia masih belum dipasang, begitu juga pada Ahad. Keadaannya sama sahaja.
"Terdapat 120 peniaga di sini, namun hanya 30 peniaga sahaja yang mempunyai khemah. Sebab itu saya rasa pelik kerana mereka tidak pasang khemah sedangkan di tapak bazar Ramadan yang lain seperti di Taman Budaya, Parit Raja, Senggarang dan Ekspo Ramadan di BP Walk mereka boleh pasang,” katanya.
Sementara itu, Hafizi Jumhari, 31, berkata, disebabkan ketiadaan khemah, dia terpaksa pasang payung sendiri sementara menunggu khemah yang dipasang oleh MPBP.
"Setelah hampir jam 4 petang, tiada lagi pelanggan yang datang untuk membeli juadah yang saya jual ini, tidak seperti sebelumnya. Mungkin kerana ketiadaan khemah, orang ramai beranggapan bazar Ramadan ini tidak beroperasi seperti sebelumnya.
"Saya berharap agar pihak bertanggungjawab dapat memasang khemah untuk kami secepat mungkin, agar kami dapat berniaga dengan selesa, selain ianya sebagai tanda yang bazar Ramadan di Tapak Pesta ini beroperasi seperti tahun sebelumnya,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap MPBP berkata, pihaknya  maklum dengan perkara berkenaan dan menyatakan kontraktor dilantik tidak dapat menyediakan khemah pada saat akhir.
Katanya, khemah akan dipasang selewat-lewatnya hari ini, dan dalam masa sama pihak MPBP telah membatalkan kontrak dengan kontraktor berkenaan kerana gagal melaksanakan tanggungjawab itu sekali gus memberikan imej yang buruk terhadap MPBP.
"Pihak MPBP akan memastikan kejadian seumpama ini tidak akan berulang, dan kontraktor yang baharu telah dilantik serta pemasangan khemah akan dilakukan selewat-lewatnya esok (hari ini),” katanya
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian jam 3.30 petang mendapati, sebahagian peniaga memasang payung sendiri dan sebahagiannya tidak berniaga
.