FILEM mengenai kanak-kanak penghidap autisme bertajuk ‘Redha’ yang tayangan perdananya diadakan di Labuan sebelum ini begitu menyentuh perasaan penonton.
Filem keluaran Current Pictures ini yang bikinannya menelan belanja RM3.5 juta arahan Tunku Mona Riza menjadi bualan anggota masyarakat, ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ia mengisahkan kisah sebenar seorang kanak-kanak autisme yang mengenahkan lakonan suami isteri Nam Ron dan June Lojong sebagai bapa dan ibu kanak-kanak berkenaan dengan didokong pelokon seperti Nadiya Nisaa, Susan Lankester, Remy Ishak and Ruminah Sidek.
“Filem ini bukan semata-mata untuk keuntungan tetapi lebih satu usaha untuk memberi kesedaran kepada autisme,” kata Tunku Mona kepada Bernama.
Beliau berkata, sebelum merealisasikan filem ini, beliau telah membuat kajian mendalam selama dua tahun berdasarkan pengalaman beberapa keluarga yang membesarkan anak yang menghidap autisme.
Tunku Mona berkata beliau membuat filem sedemikian bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap autisme, maka Redha diolah melalui penceritaan atau ‘story-telling’ disebabkan masyarakat lebih mudah untuk mendalami sesuatu keadaan melalui jalan cerita daripada melalui pembacaan teks.
“Saya pilih buat filem ini sebab apabila lebih ramai orang menonton filem ini, lebih ramai orang akan orang sedar dan faham apa itu autisme.
“Kita tidak memperolehi banyak keuntungan dari filem ini atas dasar ianya bukan matlamat pembikinan filem ini sebenarnya. Tetapi ia berjaya mencapai matlamat kami berdasarkan maklum balas penonton dan ibu-bapa yang menonton filem ini.
“Apabila saya mula mendekati keluarga yang mempunyai anak yang ada autisme, saya bertambah dekat dengan subjek ini dan emosi saya turut terlibat.
"Dan ini mendorong saya untuk membuat filem ini. Pembikinan filem ini bermatlamatkan dua pegangan iaitu untuk menjadi suara kepada keluarga yang mempunyai anak autistik dan membawa masyarakat untuk mendalami kehidupan anak-anak yang ada autisme atau masuk kedalam kehidupan mereka.
“Ramai ibu bapa yang mempunyai anak autistik malu untuk membawa anak mereka berdepan dengan masyarakat luar atas sebab ada segelintir masyarakat yang tidak ada kefahaman autisme bersikap judgemental,” kata Tunku Mona.
Pelakon utamanya Nam Ron pula berkata, filem berkenaan telah memberi kesedaran kepada beliau sendiri tentang perlunya perhatian diberikan kepada kanak-kanak autisme dan mereka tidak harus disisihkan.
“Sumbangan saya kepada masyarakat khususnya kepada kanak-kanak autistik adalah melakonkan watak yang diberikan kepaada saya dengan sebaiknya. Saya telah cuba sedaya-upaya untuk menjiwai watak seorang ayah kepada anak yang menghidap autisme dan ianya satu sumbangan dan satu cabaran dalam lakonan saya,” katanya.
Turut menjadi penaja kepada tayangan perdana yang dianjurkan oleh Persatuan Autism Labuan dan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) ialah Tiara Hotel, Petronas Methanol Labuan, Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd and Radio Television Malaysia Labuan (RTM Labuan).
Tunku Mona berkata Current Pictures akan menderma RM1.00 dari setiap tiket yang terjual menerusi filem tersebut kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).