KUALA ROMPIN – Penyakit katarak atau selaput tebal di mata berkait rapat dengan faktor penuaan seseorang dan individu berusia 50 tahun ke atas adalah golongan berisiko tinggi.
Pakar Mata Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Dr Mohamad Aziz Salowi berkata, tinjauan pada 2014 mendapati anggaran peratusan statistik buta akibat katarak di negara ini adalah 0.5 peratus iaitu seramai 27,230.
Menurutnya, tinjauan itu dibahagikan kepada beberapa bahagian dan statistik di Sabah menunjukkan peratusan paling tinggi iaitu 1.1 peratus manakala paling rendah di sentral iaitu 0 peratus melibatkan kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Selangor.
Katanya, Zon Pantai Timur Semenanjung dan Sarawak pula menunjukkan kadar jumlah penduduk buta yang tinggi dalam kalangan wanita kerana dipercayai tiada akses rawatan.
“Anggaran ini bagi mereka yang buta kedua mata iaitu hanya boleh lihat nombor besar dalam jarak kurang tiga meter akibat selaput tebal berbanding penglihatan normal boleh dilihat dalam jarak 60 meter,” katanya di Program Klinik Katarak 1Malaysia dengan kerjasama Standard Chartered Foundation (SCF) di Hospital Rompin, kelmarin.
Beliau turut menjelaskan mengenai kerjasama Kementerian Kesihatan dengan SCF yang bermula sejak 2013 hingga 2015 dan dalam tempoh itu sebanyak RM1.5 juta digunakan untuk membeli kanta intraocular bagi tujuan pembedahan.
Beliau berkata, usaha SCF untuk mengumpul dana akan dipergiat menerusi Standard Chartered KL Marathon’s 2016 ‘Run for a Reason’ (RFAR) hasil penyertaan pelbagai pihak.
Katanya, dana yang dikumpulkan itu berhasil menjalankan lebih 4,000 pembedahan dan majoriti pesakit adalah penduduk luar bandar seluruh negara.
"Pembedahan membuang selaput boleh dilakukan dan kita nasihatkan masyarakat supaya dapatkan rawatan awal jika penglihatan mulai kabur dan tidak tunggu buta.
"Jika terlewat atau sudah buta, rawatan mungkin berisiko tinggi kerana kemungkinan ada komplikasi dan rawatan awal dapat mengurangkan komplikasi," katanya.
Sementara itu, seorang pesakit dari Felda Keratong 7, Arsha Yahaya, 68, mula menghidap katarak pada mata kanannya pada tahun ini dan mengambil tindakan awal selepas dinasihatkan rakan-rakannya yang mengalami penyakit sama dan telah pulih selepas pembedahan.
"Saya tak takut dengan pembedahan asalkan penglihatan saya pulih. Malah terbukti, pembedahan ni memang tidak menyakitkan dan masa diambil juga tak lama," katanya ketika ditemui selepas membuat pembedahan membuang selaput mata di Hospital Rompin, di sini.
Seorang lagi pesakit, Mohd Saari Yaakob, 62, dari Felda Keratong 4, berkata, penyakit katarak pada mata yang dihidapnya lebih setahun itu menyebabkan penglihatannya terganggu.
“Penglihatan kabur walaupun dekat dan saya hanya mampu dengan suara tetapi muka tidak nampak. Disebabkan itu saya mahu membuat pembedahan selepas ditawar hospital.
"Hari ini (kelmarin) saya dah dapat melihat semula,” katanya
.