QUETTA - PAKISTAN. Bapa kepada 35 orang anak kini mencari isteri keempat bagi merealisasikan matlamatnya yang ingin memiliki 100 orang anak, lapor AFP.
Sardar Jan Mohammad Khilji, 46, berkata, dia percaya ini adalah tanggungjawab agamanya untuk mempunyai anak seramai yang mungkin.
Sambil menegaskan beliau amat jarang tersilap memanggil nama anak-anaknya, juruteknik perubatan itu berkata, beliau membahagikan masa dengan bergilir menghadiri acara kekeluargaan dengan mereka dan ibu masing-masing.
Menurut Sardar, tiga isteri menyokong niatnya untuk berkahwin lagi dan berkata, mereka hidup dalam suasana harmoni.
Dia bagaimanapun tidak membenarkan AFP bercakap dengan mereka.
Lelaki Pakistan dibenarkan berkahwin empat menurut Islam namun perlu mendapatkan keizinan daripada isteri pertama dan majlis timbang tara.
Jan yang mendakwa adalah seorang juruteknik perubatan yang berkelayakan menguruskan sebuah klinik merawat pesakit ringan seperti sakit kepala.
Tambahnya lagi, dia membantu masyarakat dengan hanya mengenakan bayaran hanya 250 rupee (RM9.53) bagi setiap pesakit di samping menyediakan perkhidmatan kepada golongan miskin secara percuma.
Jan juga mengendalikan sebuah seminari dibiayai oleh derma dan mempunyai hampir 400 pelajar termasuk empat anak-anaknya yang belajar al-Quran, dan berkata dia membayar untuk 20 daripada 35 anak-anak ke sekolah swasta.
Jan menegaskan dia tidak pernah menghadapi sebarang masalah kewangan untuk menjaga keluarganya namun tidak menjelaskan bagaimana dia boleh menampung semua perbelanjaan dengan hanya servis perubatan yang dijalankannya.
Dalam pada itu, Jan mengakui keperluannya mungkin meningkat kerana anak-anaknya semakin membesar dan menyeru kerajaan memperutukkan dana untuk makanan pendidikan dan penjagaan kesihatan keluarganya walaupun ia sukar untuk dipenuhi.
Kesemua perkahwinanya diatur oleh ibu bapanya.
"Perkahwinan pertama semasa saya berumur 26 tahun dan tahun berikutnya untuk perkahwinan kedua dan diikuti lima bulan seterusnya untuk perkahwinan ketiga," ujarnya.