Norazlina tekun menyiapkan tudung saji bersulam reben
BANDARAYA MELAKA – Bermula daripada sekadar hobi tetapi kini sulaman tudung saji dengan menggunakan reben menjadi sumber pendapatan Norazlina Sheriff.
Norazlina, 38, berkata, sebelum ini dia mempelajari teknik sulaman berkenaan daripada seorang rakan sekadar dan membuat tudung saji secara suka-suka tetapi tidak menyangka hasil kraftangannya itu terutama tudung saji bercorak songket selain bunga nanas boleh dikomersilkan.
Wanita yang menetap di Taman Merak Mas, Bukit Katil itu tidak menafikan agak sukar semasa mula-mula mempelajari seni sulaman berkenaan sehingga mengambil masa hampir sepuluh hari bagi menyiapkan satu tudung saji.
“Saya pelajari sulaman ini penghujung tahun 2012 dengan seorang kawan di Serting, Negeri Sembilan tetapi tidak pula fikir boleh menjadi pendapatan.
“Saya belajar asas sulaman, memang rumit sebab perlu kira jalur pada tudung saji sama ada bersaiz kecil atau besar. Tetapi bila sudah mahir, timbul minat untuk menghasilkan lebih banyak produk sehingga menarik minat orang nak membeli,” katanya.
Katanya, dia perlu memastikan potongan reben dibahagikan lima helaian digunting sama saiz untuk mendapatkan hasil yang kemas kerana sekiranya satu jalur tersilap masuk, boleh menyebabkan keseluruhan sulaman rosak.
Jelas ibu kepada empat anak ini, bukan sekadar cantik sebagai penghias di meja makan tetapi sulaman yang menutup segala ruang mampu mengelak hidangan daripada dimasuki serangga.
Tambahnya, terdapat pelanggan yang pernah membuat tempahan tudung saji bersaiz lebih kecil untuk dijadikan buah tangan dalam majlis perkahwinan selain dijadikan hiasan pada dinding rumah.
Katanya, pelanggan boleh menempah mengikut warna dan corak yang mereka pilih iaitu bersaiz diameter 63 sentimeter (cm) berharga RM50 sementara RM30 bagi berdiameter 38 cm dan tambahan RM5 jika menambah renda.
“Ilmu yang dimiliki dikongsi bersama anak sulung, Nursyazana Mohd Bidon, 14, kerana dia juga minat buat sulaman ini untuk isi masa lapang.
“Saya rasa gembira kerana bukan sahaja menghasilkan tudung saji yang cantik malah dapat bantu suami tambah pendapatan dan boleh tambah simpanan,” katanya.
Katanya, cara penjagaannya amat mudah iaitu hanya mengelap menggunakan kain tanpa perlu dijemur.
Tambahnya, dia berhasrat untuk meluaskan pasaran tudung saji sulaman songket dan bunga nanas untuk dijualkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: