Wajah pencuri yang dirakam oleh CCTV dipasang pihak masjid sebagai langkah keselamatan berikutan kekerapan berlaku kejadian curi di masjid tersebut.
TUMPAT - Mulanya dia menunaikan solat Asar secara berjemaah di Masjid Mukim Kebakat, di sini, sebelum berusaha mengumpil tabung masjid tanpa menyedari tingkah lakunya itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
Perbuatan curi tabung masjid itu berlaku kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu, dan lelaki terbabit dilihat menggunakan pemotong besi yang disembunyikan dalam seluar panjang untuk memotong mangga pada tabung berkenaan.
Menurut Imam Masjid Mukim Kebakat, Mohd Shukri Ab Ghani, kejadian tersebut disedari oleh siak masjid berkenaan ketika datang ke masjid untuk membuat persediaan solat Maghrib.
"Dia (siak) nampak tabung masjid terbuka dan ada kesan mangga kunci dipotong. Siak terus ke bilik CCTV untuk melihat kembali rakaman kejadian.
"Rakaman CCTV membongkar perbuatan dilakukan lelaki terbabit dan dia didapati bukan hanya mencuri wang dalam tabung masjid, bahkan turut mencuri dua tong gas memasak serta kawah," katanya.
Menceritakan kejadian, Mohd Shukri berkata, lelaki tersebut dilihat masuk ke kawasan masjid bersama-sama jemaah lain pada waktu solat Asar dengan menaiki kereta.
Menurutnya, selepas semua jemaah meninggalkan masjid, pencuri berkenaan masuk ke bilik stor lalu mencuri dua tong gas memasak serta kawah dan dimasukkan ke dalam kereta dinaikinya.
"Ini kes kecurian keempat berlaku di Masjid Mukim Kebakat tahun ini dan kekerapan berlaku kecurian di masjid ini mendorong kami memasang sistem CCTV di masjid.
"Jawatankuasa masjid juga telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan untuk memberi kerjasama," katanya.
Sejak kelmarin, video rakaman CCTV kejadian curi wang dalam tabung Masjid Mukim Kebakat tersebar di media sosial.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: