Wednesday, December 30, 2015

Pengusiran: Penduduk Kg Mutiara diberi sebulan




Nasib penduduk Kampung Mutiara belum pasti
Lebih 1,000 penduduk Kampung Mutiara berkumpul bersama beberapa pemimpin Umno dan Kerajaan Pulau Pinang bagi mendapatkan penangguhan meroboh rumah mereka daripada peguam pemilik tanah.
GEORGETOWN - Penduduk Kampung Mutiara, Batu Ferringhi yang berhimpun hari ini bagi mempertahankan rumah mereka daripada dirobohkan, diberi tempoh sebulan mulai hari ini untuk berbincang dengan pemilik tanah, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.
Beliau berkata, polis mendapatkan perintah mahkamah hari ini bagi penangguhan pengusiran itu selepas mengadakan perbincangan dengan pemilik tanah, atas faktor keselamatan.
Terdahulu beliau mengarahkan kira-kira 300 penduduk kampung itu yang berhimpun hari ini bagi menghalang pengusiran mereka dan perobohan rumah mereka yang dikatakan akan dilakukan hari ini, supaya bersurai.
"Hasil perbincangan dengan pemilik tanah dan pendaftar mahkamah hari ini, aktiviti pengusiran ditangguhkan sebulan mula tarikh hari ini ... walaupun pemilik tanah mempunyai perintah pengusiran penduduk dari kawasan itu.
"Penangguhan tempoh sebulan akan memberikan masa kepada mereka yang terlibat untuk mengadakan perbincangan dan mengelak daripada berlakunya perkara yang tidak diingini," kata Mior Faridalathrash kepada penduduk kampung itu  di sini hari ini.
Penduduk kampung itu mula berkumpul sejak awal pagi selepas tersebarnya desas-desus pemilik tanah berkenaan akan bertindak merobohkan kira-kira 64 buah rumah serta menghalau penghuninya pagi ini.
Antara yang dilihat hadir memberi sokongan kepada penduduk itu ialah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Adun, Teluk Bahang Datuk Shah Headan Ayoob Shah Hussain dan Adun Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.
Ini merupakan percubaan kali kedua pemilik tanah Peter Loke untuk mengusir penduduk kampung itu selepas usaha pada pertengahan Oktober lalu gagal berikutan penduduk bangkit mempertahankan kampung mereka.
Konflik di kampung itu bermula selepas keputusan mahkamah berpihak kepada Loke yang membeli tanah itu pada 2007.
Berikutan itu, satu writ pemilikan dikeluarkan bagi mengosongkan rumah di
kampung tersebut, namun penduduk enggan berpindah kerana mendakwa tidak
mendapat pembelaan sewajarnya sedangkan sudah mendiami perkampungan itu sejak 1950-an.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk melindungi hak penduduk kampung itu.
Katanya, sepucuk surat sudah dihantar kepada peguam mewakili pemilik tanah pada 27 Ogos menyatakan hasrat untuk membeli tanah itu, tetapi sehingga kini tiada jawapan.
"Pihak kami menyediakan kira-kira RM22 juta di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, untuk membeli tanah itu tetapi pemilik tanah enggan berbincang atau berjumpa, katanya.
Zairil pula berkata, beliau bersama-sama wakil Umno mengadakan perbincangan sehingga 2 pagi tadi untuk mencari jalan bagi membantu penduduk kampung.
Beliau berkata kes itu masih di peringkat mahkamah rayuan dan sepatutnya tindakan pengusiran tidak boleh diambil terhadap penduduk sehingga kes itu selesai di mahkamah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Ferringhi, Ismadi Abu Bakar berkata penduduk tidak dapat tidur sepanjang malam tadi kerana memikirkan nasib dan rumah mereka yang akan dirobohkan.
"Kami diberitahu agar beri kerjasama kepada polis agar tidak memburukkan lagi keadaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: