Friday, December 25, 2015

Hasrat pensyarah derma organ tercapai



Derma organ
Gambar Hiasan.
KANGAR - Hasrat seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menderma organ tercapai apabila beliau meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada pagi Ahad lepas.
Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM Perlis, Mohd Nor Akmal Nordin, 26, terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal menuju kampusnya.
Menurut bapanya Nordin Md Akhir, 53, anak keduanya itu menyuarakan hasrat tersebut kepada adiknya Akram, 22, setelah Mohd Nor terbabit dalam kemalangan dan dibawa ke Klinik Kesihatan sebelum ke hospital.
"Saya dan keluarga tidak menyangka dia akan meninggal dunia empat hari selepas dia menyuarakan hasrat itu kepada adiknya. Kalau dilihat pada kecederaan yang dialaminya, ia tidak seteruk mana, sekadar luka di kepala sahaja.
"Sebelum dia koma pada petang kemalangan itu, kami sempat juga bawa dia ke Klinik Kesihatan Arau untuk mencuci luka di kepalanya," kata Nordin.    
Beliau berkata, anaknya juga pernah berikrar untuk menderma organ pada tahun 2011 ketika anaknya masih menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor.
"Dan apabila dia balik ke kampung, dia menunjukkan kad ikrar penderma organ kepada saya dan ibunya. Kami agak terkejut dan sukar menerima hasratnya, namun apabila dia menerangkan kepada kami yang tindakannya itu sebagai menyediakan saham akhirat untuknya, kami faham dan berasa bersyukur," katanya.
Nordin berkata mereka juga memaklumkan hasrat anaknya kepada doktor yang merawatnya di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas mereka sekeluarga dimaklumkan bahawa harapan anaknya untuk pulih agak tipis disebabkan pendarahan dalam kepalanya yang agak kritikal.
“Ketika itu kami dimaklumkan semula oleh Akram yang abangnya mahu mendermakan semua organnya untuk dimanfaatkan semula oleh orang
memerlukan," katanya.
Difahamkan pembedahan untuk mengeluarkan buah pinggang dan jantung Mohd Nor Akmal berlangsung di Dewan Bedah HTF pada jam 11 pagi tadi dan berakhir kira-kira jam 1.30 tengah hari.
Organ-organ tersebut kemudiannya diterbangkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: