Bahagian puncak sangkar layang diperbuat daripada kayu jati dan tembaga.
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu pepatah yang boleh dikaitkan dengan seorang warga emas, Alwi Ghani apabila hobi membuat sangkar burung menjadi punca rezekinya.
Kata Alwi, niat sekadar suka-suka kini dikongsi kepada orang ramai di seluruh negara terutamanya di Pantai Timur apabila hasil sangkar layangnya kini mendapat tempat di hati pelanggan.
Biarpun usianya telah mencecah 66 tahun, ternyata Alwi masih mampu menyiapkan sangkar layang untuk burung tekukur atau juga dikenal burung balam yang ditempah khas oleh pelanggan walaupun kudratnya tidak segagah dahulu.
Katanya, dia mula berkecimpung dalam dunia pembuatan sangkar lebih kurang 40 tahun lalu ketika masih bekerja di sebuah syarikat di Kuala Lumpur.
Nekad untuk menambah pendapatan, Alwi membuat sangkar pada skala kecil ketika menetap di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur.
Kos sara hidup yang tinggi mendorongnya mencari sumber pendapatan lain bagi menampung perbelanjaan hariannya.
Ternyata cubaan pertama kali membuahkan hasil dan kini Alwi sudah mahir membina sangkar manakala hasil ukiran sangkarnya lebih halus serta kreatif.
“Saya perlu bijak bahagikan masa. Dulu.. pada waktu siang, saya kerja seperti biasa kemudian pada malam hari.. saya buat sangkar. Begitu juga bila cuti, saya tak akan sia-siakan masa dan cuba siapkan sekurang-kurangnya satu sangkar burung.
“Hidup di Kuala Lumpur, memang perlukan sumber sampingan, jika tidak.. makan batulah jawabnya,” katanya berseloroh.
Hasil dicari peminat burung
Alwi yang ditemui di kediamannya di Kampung Beting berkata, cabaran ketika itu untuk mendapatkan bahan membuat sangkar.
“Maklumlah, di Kuala Lumpur memang payah untuk mendapatkan bahan keperluan seperti rotan, manau, kayu jati dan sebagainya.
“Sangkar yang saya buat berbeza dengan yang dijual di kedai. Selalunya sangkar saya akan dicari oleh peminat burung yang ingin menyertai pertandingan," katanya.
Katanya, untuk menghasilkan sangkar yang baik dan berkualiti dia terpaksa meredah hutan di Kuang sehingga ke Kuala Selangor dan kadang-kadang terpaksa membeli daripada pembekal.
“Ketika itu permintaan tak banyak dan hanya untuk kenalan rapat saja,” katanya.
Namun hari demi hari, permintaan sangkarnya semakin meningkat dan ternyata hasil seni Alwi dihargai pelanggan.
“Dulu memang tidak terkenal, tetapi bila orang sampaikan berita dari mulut ke mulut, akhirnya sangkar saya mendapat tempat di hati mereka.
“Walaupun banyak permintaan, tetapi saya akan buat mengikut kemampuan saja kerana sukar untuk cari bahan," katanya.
Cari rotan di hutan
Setelah bersara pada tahun 2000, dia mengambil keputusan berpindah ke Kampung Beting iaitu kampung halamannya.
“Meskipun saya telah berpindah, permintaan tetap sama, jadi saya telah ambil keputusan melakukan kerja ini sepenuh masa sambil dibantu oleh pekerja Indonesia,” katanya.
Jelasnya, untuk sangkar biasa dia mampu disiapkan dalam tempoh dua hari manakala yang berukir ambil masa selama dua minggu.
“Sangkar ini dibuat daripada rotan besar (manau) bersaiz 10 sentimeter (diameter) bagi buat tapak sangkar.
“Namun kini, rotan besar sukar ditemui kerana hampir pupus. Jika buat pesanan kepada pembekal pun ambil masa yang lama," katanya.
Kata Alwi, untuk lantai yang menjadi lapisan kedua selepas tapak, dibuat daripada rotan yang bersaiz kecil yang dicarinya sendiri di hutan.
“Proses menyediakan tapak agak rumit dan memakan masa untuk membentuknya. Rotan besar perlu dibelah dan diraut licin supaya mudah untuk dibentuk,” katanya.
Pulangan lumayan
Disebabkan sukar dapat bahan utama selain cara pembuatan yang rumit, tidak hairanlah, kini hanya golongan veteran sahaja yang membuat sangkar burung.
“Saya pernah bimbing anak muda bagi belajar cara buat sangkar tapi mereka tidak menunjukkan minat yang sama seperti saya.
“Walaupun agak leceh dan rumit pembuatannya, tetapi pulangannya lumayan," katanya.
Kata Alwi, sangkar biasa boleh dijual sehingga RM100 sebuah manakala sangkar berukir penuh boleh mencecah RM400.
Katanya, permintaan akan meningkat apabila musim pertandingan burung terkukur di Kelantan dan Terengganu.
Selain pakar membuat sangkar layang, Alwi juga boleh membuat racik yang digunakan untuk menangkap burung.
Seorang pembeli setia, Mazlan Hashim, 47, berkata, sangkar layang yang dihasilkan Alwi berkualiti tinggi dan dijual pada harga berpatutan.
“Walaupun sukar untuk mencari bahan seperti rotan, kayu jati, tetapi Alwi tetap berjaya membina sangkar idamannya.
“Ternyata usaha saya tidak sia-sia, ada yang datang jauh dari Semenyih semata-mata mahu memiliki sangkar ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: