WALAUPUN dilabel sebagai ‘kayu’, kerjaya seni pelakon baru, Ruhainies tetap bersinar. Ternyata, drama bersiri Hello Mr Perfect memberi tuah lantas menjadi permulaan baik kepada pemilik nama penuh, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas.
Tidak hanya terhad pada tawaran berlakon, pelakon berusia 23 tahun ini juga diintai untuk menjadi duta produk.
"Saya tidak sangka selepas berlakon drama itu, banyak tawaran datang. Bukan dalam lakonan saja, malah ada juga ingin jadikan saya duta produk kecantikan mereka.
“Saya melihatnya sebagai satu perkembangan positif dalam kerjaya. Sebelum ini, saya pernah berlakon dalam telefilem Sopeah Jin, tetapi hanyalah memegang watak kecil. Ketika itu, tiada siapa pun menyedari kehadiran saya,” katanya.
Mengakui agak terkilan terhadap dirinya, pelakon yang wajahnya persis artis terkenal, Nora Danish ini bagaimanapun mengambil kritikan itu daripada sudut positif.
“Sebagai pendatang baru, saya bersedia dengan kritikan seperti ini. Saya tahu masih banyak kekurangan jadi segala kritikan, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.
Atas dasar itu, demi memperbaiki mutu lakonannya, Ruhainies bercadang mengambil kelas lakonan.
“Sejujurnya, saya mahu menyertai mana-mana kelas lakonan namun terbatas kerana masa yang terhad.
“Buat masa ini, saya terikat jadual penggambaran, oleh itu, saya belajar sendiri melalui pemerhatian ke atas filem berbahasa Inggeris yang ditonton,” katanya.
Pun begitu, adik kepada pelakon Risteena Munim ini mengakui lebih selesa dengan watak komedi kerana ia lebih santai malah dialog dilontar boleh diubah sendiri.
Namun, dia tidak menolak jika diberi watak berat atau perlu banyak bermain dengan emosi.
Pada masa sama, pelakon kecil molek ini mengimpikan untuk muncul berlakon filem, tetapi masih belum mendapat peluang.
“Saya tahu langkah saya untuk ke layar perak. Insya-ALLAH, akan ada rezeki untuk saya nanti,” katanya.
Kini, Ruhainies bakal muncul dalam drama bersiri, Bodyguard dan dua telefilem iaitu Potret Untuk Adik dan Karlisa.
Sibuk dengan bisnes
Dalam pada itu, pemegang Diploma Pengurusan Pelancongan dari Universiti Teknologi Mara, (UiTM) ini tidak mahu dikenali sebagai pelakon terkenal saja, tetapi juga mencari peluang menjalankan perniagaan.
Katanya, perniagaan diusaha merupakan jalan alternatif untuk menjamin masa depan.
Katanya, sebelum bergelar pelakon pun, dia sudah terlebih dulu berjinak-jinak dalam bisnes.
“Saya sudah mula menjalankan perniagaan sebelum jadi pelakon, tetapi tergendala seketika kerana memberi tumpuan pada lakonan.
“Sekarang saya sudah boleh mengatur jadual lakonan, bolehlah saya teruskan rancangan saya itu. Insya-ALLAH, dalam masa terdekat saya akan lancar produk kecantikan Ruhaninies RosySecret,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: