Monday, December 28, 2015

LPT2: Terengganu harap dibayar balik RM1.85b



LPT2
LPT2
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu berharap Kerajaan Persekutuan menyegerakan bayaran kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak RM1.85 bilion.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut merupakan pendahuluan yang diberi oleh kerajaan negeri dan sepatutnya dibayar semula mengikut kaedah tertentu.
"Pada dasarnya kerajaan pusat telah bersetuju membayar balik wang sebanyak RM1.85 bilion itu kepada Terengganu, cuma kaedahnya perlu diteliti dan perkara ini perlu dibincangkan.
"Kita berharap sangat supaya pembayaran itu disegerakan," katanya kepada pemberita pada majlis penganugerahan Sarjana Terengganu di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT) di sini hari ini.
LPT2 sepanjang 184 kilometer dari Jabor, Kemaman ke Gemuroh, Kuala Nerus siap dibina dan dibuka kepada lalu lintas setahun lalu melibatkan peruntukan keseluruhan RM4.25 bilion.

Sementara itu berhubung isu vape, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan membuat keputusan sama ada mengharamkan penjualan atau sebaliknya selepas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) mengeluarkan fatwa.
Katanya, JHEAT akan bermesyuarat dalam jangka masa terdekat dan selepas itu kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mengadakan dialog dengan pengusaha yang turut dihadiri Mufti.
"Kita cuba mencari jalan penyelesaian terbaik supaya tiada yang menjadi mangsa dalam masalah ini," katanya.
Pada majlis penganugerahan tersebut, pihak yayasan memperuntukkan RM1.02 juta kepada 314 pelajar sebagai hadiah terhadap kecemerlangan masing-masing dalam bidang pendidikan.
Sepanjang 17 tahun program itu diadakan yang bermula 1998, YT membelanjakan kira-kira RM4.1 bilion melibatkan 1,037 penerima.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: