ACARA berprestij, Anugerah Juara Lagu Ke-30 (AJL30) memilih konsep Kegemilangan dan Kemeriahan 30 Tahun AJL bagi menggambarkan penganjurannya selama Tiga Dekad Mencipta Fenomena.
Atas dasar itu, AJL30 buat julung kalinya bakal bersiaran secara langsung dari Stadium Malawati Shah Alam, 24 Januari ini.
Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9, Sherina Nordin memberitahu, kelainan akan ditampilkan dari segi persembahan hebat pelbagai artis ternama bahkan jangka masa mungkin akan dipanjangkan.
“Kita tahu AJL30 adalah sebuah acara yang besar kerana sudah tiga dekad penganjurannya.
“Jadi, kita akan sajikan ‘lebih’ persembahan menarik dan hebat kepada penonton. Selain sesuatu yang baru dan berbeza, AJL kali ini turut menampilkan tiga persembahan istimewa di awal, pertengahan serta akhir acara.
“Kita percaya penonton mengharapkan sesuatu yang lebih pada acara itu nanti. Insya-ALLAH, AJL 30 akan lebih luar biasa berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang media AJL30, baru-baru ini.
Katanya, AJL30 turut membawakan festival muzik berskala besar di Dataran 1Malaysia, Klebang, Melaka bermula jam 2 petang hingga 12 tengah malam pada 9 Januari ini.
“Selain menyediakan pelbagai aktiviti, festival itu bakal menampilkan konsert besar-besaran yang mana barisan penyanyi terkenal akan membawakan lagu-lagu yang pernah bertanding di acara berprestij itu.
“Secara tidak langsung ia memberi peluang kepada penonton bertemu dengan penyanyi kesayangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, bagi menyemarakkan lagi kehangatan AJL30, lima penggiat seni terdiri daripada penyanyi, komposer dan penulis lirik terpilih bagi menerima Anugerah Ikon AJL.
Katanya, anugerah itu diberi sebagai tanda penghargaan kepada pemenang AJL terdahulu.
Lima penerima anugerah ialah Francissca Peter dan Manan Ngah menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran, yang merupakan pemenang Juara Lagu pertama pada 1986, Search yang merupakan kumpulan pertama menjuarai acara itu pada 1989 dengan lagu Isabella serta Datuk Siti Nurhaliza sebagai penyanyi wanita paling banyak menjuarai Juara Lagu dengan lagu Jerat Percintaan (1996), Cindai (1998) dan Balqis (2000).
Turut menerima anugerah itu ialah Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan Hairul Anuar Harun sebagai pencipta lagu etnik kreatif menerusi lagu Cindai dan Balqis serta pemenang AJL29, Joe Flizzow dan Sona One yang merupakan penyanyi, komposer serta penulis lirik untuk lagu hip hop pertama diangkat di pentas AJL menerusi lagu Apa Khabar.
“Bersempena tiga dekad penganjuran AJL, lebih baik kita beri penghargaan kepada artis yang banyak memenangi anugerah.
“Tidak dinafikan sukar untuk tentukan penerima anugerah memandangkan kesemua pemenang terdahulu sangat bagus dan layak terima anugerah ini.
“Kita harap anugerah seperti ini akan diteruskan tahun berikutnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: