PELAKON cantik ini mungkin agak asing namanya di kalangan peminat seni tempatan sementelah dia masih hijau dalam bidang ini.
Namun, jika disebut peranannya sebagai Milda menerusi drama bersiri Akulah Balqis, pasti ramai yang terbayangkan raut wajah empunya nama Nadia Brian ini.
Mengakui bersyukur kerana diberi kepercayaan menjadi Milda, kata pelakon berusia 24 tahun ini, dia tidak menyangka karakternya menerusi drama bersiri itu telah membuka mata peminat seni akan kehadirannya.
"Sebenarnya saya juga terkejut mendapat tahu Milda antara watak utama dalam drama bersiri tersebut.
"Saya sangka, saya diperlukan sebagai pelakon pembantu sahaja pada awalnya," katanya kepada Zass.
Sebagai pendatang baharu, Nadia menjelaskan, membawakan watak Milda merupakan cabaran besar baginya.
"Saya diberi tanggungjawab yang cukup hebat menerusi drama bersiri ini. Bayangkan, hampir setiap hari babak saya adalah babak menangis dan tertekan.
"Adakala seawal 7 pagi, apabila sampai di set penggambaran, saya terpaksa menangis. Kerana itu, sepanjang tiga bulan menjalani penggambaran, saya tidak lakukan sebarang aktiviti lain selain fokus kepada drama bersiri ini," kata graduan Diploma Seni Teater UiTM Shah Alam ini.
Ditanya bagaimana dia membina watak tersebut, akuinya, Milda seratus peratus bukan dirinya.
"Saya dan Milda sangat berbeza, dia seorang wanita moden bekerjaya yang sentiasa menjaga penampilan dan status. Sebaliknya saya, seorang yang biasa-biasa sahaja.
"Jadi untuk mewujudkan watak Milda itu seakan realiti, saya buat sehabis mungkin dengan bantuan pengarah dan kru terlibat untuk memastikan Milda tidak dibuat-buat," katanya.
Jelasnya, dia cukup berbangga kerana penampilannya sebagai Milda berjaya mengukuhkan namanya dalam bidang seni.
"Saya akui aura Milda memberikan penangan hebat kepada kerjaya saya. Bagi saya, ia adalah kayu pengukur kepada penglibatan saya sebagai orang baharu dalam industri seni," katanya.
Berkongsi pengalamannya bekerja bersama Nazim Othman pula, kata Nadia, dia cukup meminati Nazim sebagai pelakon sebelum ini.
"Memang agak gementar awalnya, tetapi Nazim sering bertindak sebagai abang dan membuatkan saya selesa dengannya.
"Malah, dia banyak memberi tunjuk ajar dan melatih saya menjadi lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, ujar Nadia, dia juga cukup menyayangi Puteri Balkis bukan di dalam drama sahaja.
"Saya memang sayangkan Balkis, bagi saya, dia seorang pelakon yang sangat hebat dan berbakat walaupun masih kanak-kanak," katanya.
Realisasi pelbagai karakter
Turut terlibat pementasan teater Bawang Putih, Bawang Merah baru-baru ini, kata Nadia, dia mahu mencuba melakonkan pelbagai jenis watak.
"Adakala orang selesa melihat kita menjadi begini dan begitu, sebaliknya kita sendiri mahukan sesuatu yang berbeza.
"Begitu juga saya, sebagai pelakon saya tidak kisah menjadi apa sahaja. Sebagai pelakon yang bagus, apa sahaja watak yang diberikan perlu direalisasikan dengan baik.
"Saya yakin dan percaya, watak atau peranan yang diberi kepada kita kerana pihak berkenaan melihat kita mampu lakukannya," katanya.
Ditanya bagaimana dia mula terlibat dalam bidang lakonan, ceritanya, ia bermula apabila dia terlibat dalam satu sesi fotografi untuk Erma Fatima.
"Ketika itu, saya baru sahaja tamat belajar dan meneruskan karier sebagai model sepenuh masa, sewaktu terlibat dalam sesi fotografi berkenaan, mama Erma beritahu untuk bawa saya ke dalam dunia lakonan. Saya sangat terkejut, bagaimanapun gembira kerana dia memberi kepercayaan dan ruang kepada saya," katanya.
Selain popular dengan Akulah Balqis, Nadia bakal muncul dengan beberapa drama bersiri dan sebuah telemovie berjudul Nisaq.
Menarik mengenai telemovie berkenaan, Nadia bakal menjadi seorang pengamal ilmu hitam
"Ini juga peranan yang sangat mencabar dan berat. Saya harap ia menjadi di mata penonton nanti," katanya.
Sedikit mengenai azam tahun baharunya pula, Nadia berharap 2016 akan menyaksikan kejayaannya sebagai seorang pelakon baharu.
"Tahun ini penuh kesukaran, saya harap tahun depan semuanya menjadi lebih baik," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: