Monday, December 28, 2015

Keletah mencuit hati, Alvin And The Chipmunks




Keletah mencuit hati, Alvin And The Chipmunks

BAGI peminat setia karya Alvin and the Chipmunks, anda pasti tidak asing lagi dengan karakter Alvin, Simon dan Theodore, tiga ekor tupai tanah yang pandai menyanyi dan mencuit hati.
Selepas tampil dengan Alvin and the Chipmunks (2007), Alvin and the Chipmunks: The Squeakquel (2009) dan Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked (2011), kini keletah Alvin, Simon dan Thedore dapat disaksikan menerusi Alvin and the Chipmunks: The Road Chip.
Jika sebelum ini menyaksikan pelayaran, Alvin dan rakan-rakan bersama The Chipettes yang terdiri daripada tiga ekor tupai tanah betina iaitu Brittany, Jeanette, dan Eleanor, bersama bapa angkat mereka, Dave.
Kali ini, Alvin, Simon dan Thedore terbang ke Miami bersama seorang remaja lelaki untuk menghalang Dave melamar teman wanitanya di sana. 
Ini membuatkan Alvin, Simon dan Theodore bimbang Dave akan meninggalkan mereka setelah berkahwin kelak. Trio ini kemudian telah merancang untuk menggagalkan lamaran itu walau apa sekali pun.
Bagi yang mengikuti atau pernah menyaksikan mana-mana francais Alvin and the Chipmunks, pasti sudah sedia maklum dengan kenakalan trio ini terutamanya Alvin yang panjang akal.
Dan begitu jugalah dengan filem terbaharu ini apabila Alvin sekali lagi mencetuskan segala kacau bilau.
Sejujurnya apa sahaja idea Alvin sudah boleh dijangka dan tiada kejutan baharu yang ditampilkan di dalam filem ini.
Jika sebelum ini, Ian Hawke (David Cross) menjadi musuh trio ini, kali ini, Marsyal Udara, James Suggs (Tony Hale) menjadi musuh utama yang mahu 'memusnahkan' mereka.
Bagaimanapun biarpun jalan cerita tidak banyak berbeza dan kenalan Alvin sudah boleh dijangka, namun keletah mereka tetap mencuit hati seperti kebiasaan.
Ada sahaja perbuatan dan aksi yang dilakukan mereka mengundang gelak ketawa penonton.
Pendek kata, jika ditonton oleh kanak-kanak, Alvin And The Chipmunks: The Road Chip masih sebuah karya yang menghiburkan.

Lagu dan tarian baharu
Selain itu, Mark Mothersbaugh, individu yang bertanggungjawab mengubah lagu untuk Alvin and the Chipmunks: Chipwrecked, kembali mengubah lagu untuk filem kali ini.
Maka tidak hairanlah lagu yang disampaikan dalam filem ini digubah dari lagu-lagu popular dan membuatkan anda ingin menyanyi bersama.
Antara lagu yang ditampilkan di dalam filem ini adalah Oh My Love, Uptown Funk, Turn Down for What, Home dan banyak lagi.
Begitu juga dengan koreografi tarian yang rancak dan membuatkan sesiapa sahaja rasa ingin menari.
Bukan itu sahaja, sinematografi yang cantik juga menambahkan kepuasan anda untuk menonton filem ini.
Justeru bagi anda yang ingin mengetahui nasib trio ini dan berjayakah mereka menggagalkan rancangan Dave? Siapakah remaja lelaki yang membantu mereka ke Miami? Dan mengapakah mereka dibenci Marsyal Udara itu?
Saksikan jawapannya dalam Alvin And The Chipmunks: The Road Chip.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: